Seorang penumpang maut manakala dua lagi cedera selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori treler di KM 17, Jalan Samalaju-Bintulu, hari ini.

Pegawai Operasi Balai Bomba Bintulu, Mohd Ishak Amran berkata, mangsa tersebut dikenal pasti sebagai Cyprian Rima Mengga, 23, dari Rumah Bundong Sungai Kapit, Kapit, yang duduk di bahagian belakang kereta berkenaan.

"Dua yang cedera ialah pemandu serta penumpang yang duduk di hadapan kereta berkenaan dan kedua-duanya sudah dihantar ke Hospital Nyabau untuk mendapatkan rawatan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Katanya, mangsa maut di tempat kejadian.

Beliau berkata pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan dan semasa kejadian lori treler itu sedang dalam perjalanan ke Miri manakala kereta tersebut dari Samalaju ke Bintulu.

Beliau berkata, Balai Bomba Samalaju telah menerima panggilan pukul 1.40 pagi ini mengenai kemalangan tersebut dan sampai ke lokasi kejadian pada pukul 1.58 pagi untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta itu.

-- BERNAMA