Polis Pulau Pinang berjaya menyelamatkan seorang lagi kanak-kanak perempuan berumur tiga tahun dan menahan sepasang suami isteri dalam satu serbuan di Bukit Mertajam Isnin malam.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata pasangan berusia 50-an itu dipercayai pembeli kanak-kanak itu.

Tangkapan terbaru itu menjadikan keseluruhan 36 orang yang ditahan, termasuk seorang doktor dan seorang penjawat awam dari Jabatan Pendaftaran Negara, katanya kepada pemberita di sini Selasa.

Ops Pintas Sayang membabitkan 25 pegawai dan anggota polis yang dilancarkan untuk menjejaki individu terlibat dalam sindiket terbabit, menahan 33 orang minggu lepas, diikuti penahanan seorang lagi suspek Ahad lepas.

Pada 24 Jan lepas, polis Pulau Pinang berjaya membongkar kegiatan menjual bayi dan kanak-kanak yang bergerak aktif di negeri ini, Kedah dan Perak serta menyelamatkan lapan bayi serta seorang kanak-kanak berusia dua bulan hingga lapan tahun.

Juga Baca:

Polis bongkar sindiket jual bayi dan kanak-kanak