Pengerusi IKIM Prof Datuk Muhammad Nur Manuty berkata, seminar ini menjadi salah satu medan perbincangan praktikal bagi memajukan AI sebagai alat penting dalam pengajaran dan pembelajaran.
“Kepantasan teknologi AI mampu menghasilkan natijah positif dari segi teori dan amali kependidikan. Namun, tugasan mendidik manusia secara komprehensif iaitu proses ta’lim dan ta’dib hendaklah berjalan serentak.
“Jika tidak ada keseimbangan ini, kecanggihan AI boleh menimbulkan keraguan (skeptisme) terhadap Sang Pencipta Yang Maha Mengetahui lagi Maha Melihat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas perasmian Seminar Kecerdasan Buatan (AI) Dalam Teknologi Pendidikan di Dewan Memorial Tun Hussein Onn, Arkib Negara Malaysia pada Selasa.
Dalam pada itu, seminar ini turut mendapat kerjasama Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Mengulas lanjut, IKIM sebagai sebuah think tank (kumpulan pemikir) Islam yang berwibawa di negara ini perlu menjadikan AI, digital dan sebagainya sebagai satu projek penyelidikan masa hadapan dengan lebih serius.
“Selanjutnya, kewajipan kita juga di IKIM adalah untuk memastikan bahawa pendirian Islam sebagai sebuah agama peradaban tetap relevan dengan perubahan perubahan teknologi dunia yang sentiasa berubah,” katanya.