PUTRAJAYA: Kementerian Digital hari ini melancarkan Garis Panduan Pengadaptasian Kecerdasan Buatan (AI) di Sektor Awam sebagai inisiatif utama untuk memudahkan agensi sektor awam mengadaptasi teknologi AI dengan bertanggungjawab.

Garis panduan setebal 158 muka surat itu mengandungi penerangan berkaitan pengenalan AI, prinsip etika yang perlu dipatuhi, peranan dan tanggungjawab, pengurusan risiko, kaedah pengadaptasian dan templat penilaian kendiri untuk agensi mengenal pasti skop serta impak AI di agensi sektor awam.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata garis panduan berkenaan akan menjadi asas kepada penggunaan AI yang bertanggungjawab dan beretika dalam sektor awam iaitu prinsip kebertanggungjawaban, ketelusan, dan kesaksamaan mesti menjadi tonggak utama.

"Kita tidak boleh membiarkan AI menjadi 'kotak hitam' yang membuat keputusan tanpa mekanisme semak dan imbang yang kukuh.

"Di samping itu, kita juga perlu terus menyesuaikan diri dengan perkembangan AI, membina keupayaan tenaga kerja kita dan memastikan bahawa setiap keputusan yang dibuat dengan bantuan AI sentiasa berpaksikan kepentingan rakyat," katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Garis Panduan Pengadaptasian AI Sektor Awam di sini hari ini.

Garis panduan itu telah dibangunkan oleh Jabatan Digital Negara (JDN) dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan boleh diakses secara maya menerusi portal https://www.jdn.gov.my.

Gobind berkata proses maklum balas pengadaptasian garis panduan itu akan dijalankan setiap tiga bulan bagi memastikan program itu dapat ditambah baik secara berterusan dan dengan maklum balas yang diterima, beliau berharap ia dapat meningkatkan kompetensi dan mengatasi masalah yang timbul.

Sebagai kesinambungan daripada pelaksanaan garis panduan itu, satu seminar AI sektor awam juga akan diadakan di peringkat kebangsaan sekitar Ogos depan.

Sementara itu, pada sidang media berasingan mengenai penggunaan teknologi digital dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), beliau berkata kementeriannya akan mengumumkan satu inisiatif baharu pada Mac ini bagi usahawan PMKS menerima pakai aspek pendigitalan dalam urusan perniagaan mereka.

"Kita sekarang ada banyak program iaitu kita berbincang dengan PMKS berkaitan dengan apa sebenarnya kesan teknologi baharu kepada perniagaan mereka kerana mereka perlu ada kesedaran bahawa teknologi ini akan mengubah dan menaik taraf perniagaan mereka," katanya.

Gobind pada Januari lepas dilaporkan berkata banyak PMKS membabitkan komposisi 97 peratus daripada perniagaan di negara ini belum bersedia dengan penggunaan teknologi digital untuk terus berkembang.

-- BERNAMA