Ringkasan AI
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan pentingnya rakyat Malaysia menggunakan kesempatan untuk menimba ilmu dan fokus pada agenda mengangkat martabat negara.
- Anwar menyatakan bahawa negara-negara seperti China, Jepun, Amerika Syarikat, dan Eropah sedang berlumba-lumba meningkatkan keupayaan teknologi kecerdasan buatan dan digitalisasi.
- Beliau menyeru jabatan kerajaan dan agensi swasta untuk meningkatkan kecekapan, menambah baik perkhidmatan, dan menjauhkan diri daripada amalan rasuah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, seluruh dunia kini menumpukan pada usaha mengangkat ekonomi dan kemudahan teknologi baharu bagi mendepani masa depan yang mencabar.
Jelas Anwar, peluang bulan Ramadan yang bakal tiba perlu digunakan dengan majlis ilmu untuk memperkasa individu dan masyarakat, dan bukannya diisi dengan tohmahan dan fitnah untuk menjatuhkan mana-mana pihak.
“China, Jepun, Amerika Syarikat dan Eropah sekarang berlumba-lumba mengangkat keupayaan teknologi kecerdasan buatan dan digitalisasi.
“Mereka bercakap tentang bagaimana negara boleh berubah cepat, dengan transisi tenaga dan tidak boleh bergantung kepada tenaga lama.
“Tapi kita di sini riuh rendah dengan hal remeh dan sibuk bergaduh antara satu sama lain,” katanya dalam ucapan pada majlis perasmian pusat beli belah ‘Alamanda Berwajah Baharu’, pada Ahad.
Justeru, beliau menyeru semua jabatan kerajaan dan agensi swasta agar meningkatkan kecekapan dan menambah baik perkhidmatan serta menjauhkan diri daripada amalan rasuah.
Tambah perdana menteri lagi, kunjungan tidak putus pemimpin dunia ke Malaysia membuktikan kepercayaan terhadap keupayaan setiap lapisan rakyat di negara ini, sekali gus mencerminkan peranan penting yang dimainkan setiap warganegara.
“Apabila bercakap tentang penghargaan, ia merangkumi semua termasuk pemodal, pengurusan, peniaga malahan tukang cuci.
“Ini barulah Madani, aspek manusiawi yang ada ihsan,” katanya lagi.
