KUALA LUMPUR: Malaysia menguasai 13 peratus daripada pasaran global untuk perkhidmatan pembungkusan, pemasangan dan ujian bagi industri semikonduktor.

Industri ini antara sektor penting dalam ekonomi Malaysia kerana memberikan peluang untuk pertumbuhan ekonomi, pembangunan infrastruktur, pembangunan bakat, serta peningkatan inovasi.

Pada Mac lalu, akhbar perniagaan Financial Times yang berpangkalan di United Kingdom melaporkan berpuluh-puluh syarikat telah menubuhkan operasi di Malaysia dalam tempoh 18 bulan sebelumnya.

BACA: Tiga fasa Strategi Semikonduktor Nasional, tarik berbilion pelaburan - PM

BACA: Perkara penting mengenai Strategi Semikonduktor Nasional (NSS)

Ia antaranya di Pulau Pinang, seperti gergasi cip Amerika Micron dan Intel, syarikat semikonduktor Eropah AMS Osram dan Infineon, serta Fengshi Metal Technology yang berasal dari Suzhou, China.

Apa itu semikonduktor?

Semikonduktor ialah komponen penting peranti elektronik, membolehkan kemajuan dalam komunikasi, pengkomputeran, penjagaan kesihatan, sistem ketenteraan, pengangkutan, tenaga bersih dan banyak lagi.

Industri semikonduktor merujuk kepada keseluruhan proses pembuatan, pengeluaran dan pengedaran komponen elektronik yang menggunakan bahan semikonduktor.

.

Dalam industri ini, bahan semikonduktor seperti silikon atau germanium digunakan untuk membuat pelbagai peranti elektronik.

Industri elektrik & elektronik (E&E) Malaysia mempunyai asas yang kukuh dalam bidang semikonduktor dan elektronik perindustrian.

Kenapa ia menguntungkan Malaysia?

Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) meramalkan sektor semikonduktor di Malaysia dijangka mencatatkan trend positif mulai separuh kedua 2024.

Keyakinan tersebut berdasarkan Perangkaan Perdagangan Semikonduktor Dunia (WSTS) bahawa pasaran semikonduktor dunia akan naik semula sebanyak 13.1 peratus tahun ini untuk mencecah AS$588 bilion.

Menurut data pada tahun 2023, eksport peranti semikonduktor dan litar bersepadu (IC) mencapai pertumbuhan 0.03 peratus kepada RM387.45 bilion pada 2023.

Produk E&E mendominasi jumlah eksport Malaysia pada 2023, menyumbang 40.4 peratus bahagian yang antaranya terdiri daripada produk seperti peranti semikonduktor fotosensitif, bateri dan akumulator elektrik, alat ganti peralatan dan panel kawalan.

Menurut Forum Ekonomi Dunia (WEF), Malaysia menjadi destinasi bagi mereka yang mencari pilihan baharu.

Pada 2023, Pulau Pinang berjaya merekodkan AS$12.8 bilion dalam pelaburan langsung asing (FDI). Intel sebagai contoh, telah melabur AS$7 bilion (AS$1 = RM4.76) dalam kilang baharu di Pulau Pinang.

Malaysia juga menjadi destinasi pilihan untuk pelaburan dalam pembuatan semikonduktor disebabkan kos tenaga kerja yang rendah.

Industri semikonduktor memerlukan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi.

Oleh itu, sektor ini membantu membangunkan bakat tempatan melalui pelbagai program pendidikan dan latihan yang disokong oleh kerajaan dan industri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata, menerusi Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) Malaysia, Malaysia akan melatih dan meningkatkan jumlah 60,000 jurutera yang berkemahiran tinggi.

Contoh syarikat semikonduktor terbesar dunia:

- Intel Corporation
- Samsung Electronics
- Taiwan Semiconductor Manufacturing Company (TSMC)
- Qualcomm
- NVIDIA Corporation
- Texas Instruments Incorporated