Pengurus Besar Konsortium Ferrylines Ventures Sdn Bhd, Kapten Dr Baharin Baharom berkata, jumlah keseluruhan penumpang yang terbabit adalah seramai 1,791 orang.
Beliau berkata, ia membabitkan perjalanan feri dari Langkawi pada jam 10.30 pagi (541 penumpang), 650 penumpang pada jam 12 tengah hari, 548 penumpang pada jam 1 petang dan 415 penumpang pada jam 1.30 petang.
"Perjalanan feri dari Kuala Kedah pula membabitkan 295 penumpang pada jam 9.30 pagi, 547 penumpang pada jam 10.30 pagi, 40 penumpang pada jam 11.30 pagi, 190 penumpang pada jam 12 tengah hari, 290 penumpang pada jam 1.30 petang dan 423 penumpang pada jam 2.30 petang,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Baharin berkata, penumpang yang terjejas boleh menuntut bayaran balik atau menukar tarikh perjalanan.
Menurutnya, feri tambahan akan disediakan melalui Terminal Penumpang Kuala Perlis tertakluk kepada keupayaan terminal tersebut menerima jumlah penumpang serta paras air yang selamat.
Astro AWANI sebelum ini melaporkan, tiga feri dari Kuala Kedah ke Langkawi semalam terpaksa berpatah balik berikutan ombak kuat dan ribut.
Selain itu, sebuah lagi feri iaitu dari Kuala Perlis ke Langkawi pada jam 2.30 petang yang membawa 567 penumpang dilaporkan tersangkut di tebing pasir kira-kira 0.5 batu nautika dari Terminal Kuala Perlis.
Bagaimanapun, feri dari Kuala Perlis itu meneruskan perjalanan malam tadi dan selamat tiba di Langkawi pada jam 10.40 malam tadi.