PUTRAJAYA: Warga Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) diseru memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat yang memerlukan pembelaan, sebagai antara cara menghayati semangat kemerdekaan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata warga kementerian itu seharusnya bersyukur dan merasa bertuah kerana menjadi sebahagian daripada rakyat Malaysia yang berdaulat dan merdeka serta dapat menjalani kehidupan harian dalam suasana yang aman damai dan harmoni.

"Warga KUSKOP adalah antara rakyat Malaysia yang amat bertuah kerana mendapat tempat dalam perkidmatan awam. Penempatan dalam kementerian ini harus ada nilainya iaitu memastikan Malaysia terus merdeka, maju ke hadapan dan terus membangun.

"Oleh itu saya menyeru seluruh warga kementerian dan agensi supaya terus melipatgandakan usaha memberikan perkhidmatan terbaik membela nasib usahawan-usahawan mikro, kecil dan sederhana, penjaja dan peniaga kecil serta koperasi agar mereka terus maju bersama, seiring pembangunan negara," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan sempena Sambutan Bulan Kebangsaan KUSKOP, pada Rabu.

Ewon berkata dalam masa yang sama perhatian juga perlu diberikan kepada komuniti penjaja dan peniaga kecil, usahawan dan koperasi agar mereka terus maju bersama, seiring pembangunan negara.

Terdahulu, beliau turut melancarkan Program Konvoi Jiwa Merdeka KUSKOP, yang antaranya bertujuan untuk menyemarakkan lagi semangat patriotik di kalangan warga kementerian dan agensi-agensinya.

-- BERNAMA