Menurut Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Ts Dr Suzanna Razali Chin, pihaknya akan mempertingkatkan rondaan dan pemeriksaan ke atas bot terutama yang berada di lokasi titik panas di perairan itu bagi memastikan kegiatan berkenaan dapat dibendung.
Ini dibuktikan dengan penahanan seorang individu dengan bot pam tanpa nombor pendaftaran pada 0.4 batu nautika di kawasan Selatan Kampung Tandu, Felda Sahabat, Lahad Datu, jam 2.26 pagi, pada Selasa.
Suzanna berkata, pemeriksaan mendapati bot berkenaan telah melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994, Akta Kastam 1967 bersama Akta Imigresen 1959/63.
"Antara barangan dirampas adalah minyak masak pelbagai jenama sebanyak 340 kilogram (kg) dan beras 40kg yang disyaki dibawa keluar untuk dijual di negara jiran.
"Turut dirampas sebuah bot pam tanpa nombor pendaftaran dan dua buah enjin pam dengan anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM8,000," katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.
Mengulas lanjut, Suzanna memohon seluruh masyarakat khususnya komuniti maritim di Lahad Datu untuk terus memberikan kerjasama dengan melaporkan sebarang maklumat salah laku atau kegiatan jenayah di kawasan itu.