Hidup dalam keadaan sehelai sepinggang.

Itu gambaran tepat tentang kehidupan 149 keluarga yang tinggal di Kampung Tanjung Batu Keramat Laut, Tawau, Sabah selepas kesemua rumah mereka hangus dijilat api 8 September lalu.

Tanpa tempat berteduh, pakaian dan keperluan asas, mereka hanya mampu menagih simpati jiran dan sanak saudara bagi mendapatkan tempat melelapkan mata.

Ada juga yang terpaksa tinggal di balai raya serta pondok-pondok kecil yang dibina ala kadar, cukup untuk berteduh daripada hujan dan panas terik.

Namun selepas tiga bulan insiden ngeri itu berlaku, mereka masih hidup dalam serba kedaifan dan mengharap ada yang akan mendengar suara mereka serta menghulurkan bantuan.

“Saya merayu sama kerajaan supaya boleh dibuatkan rumah kami. Sebab kalau saya yang mau bikin, mungkin seumur hidup saya tidak boleh bikin lagi,” kata Janna Newa, 56 yang bekerja di sebuah kilang membuat mee.

Mohd Ali Tahar, 57 seorang pesara turut merayu agar bantuan dipercepatkan memandangkan dia tidak mampu untuk membeli rumah baru.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu, Datuk Hamisa Samat, sejurus selepas kebakaran itu berlaku, pelbagai agensi termasuk kerajaan negeri membantu penduduk.

“Kita memikirkan dan mencadangkan agar kawasan tersebut dijadikan kampung tersusun selepas kebakaran, tetapi kita belum dapat kelulusan daripada Menteri Luar Bandar dan Wilayah,” kata Hamisa.

Kira-kira 600 penduduk yang terkesan akibat insiden itu termasuk warga emas dan kanak-kanak mengharapkan bantuan dan peruntukkan yang diminta mereka diluluskan segera untuk pembinaan semula rumah mereka.

Walaupun hidup dalam serba kekurangan sekarang, tetapi mereka tetap bersyukur kerana terselamat daripada tragedi ngeri itu yang pasti akan terus melekat diingatan mereka selamanya.