KAHERAH: Bandar-bandar di seluruh dunia diancam kerugian sehingga AS$1 trilion setiap tahun menjelang 2050 sekiranya tiada pembiayaan kewangan yang mencukupi bagi pembangunan yang kalis dengan perubahan iklim.

Laporan Bandar Dunia 2024 yang dikeluarkan UN-Habitat mendedahkan, bandar-bandar di seluruh dunia memerlukan antara AS$4.5 hingga AS$5.4 bilion untuk membina infrastuktur bandar yang mampu beradaptasi dengan ancaman perubahan iklim.

Namun, realiti semasa menunjukkan jumlah pembiayaan untuk adaptasi iklim dalam perancangan bandar sangat rendah.

Pada 2021-2022, hanya AS$10 billion iaitu kurang 1 peratus daripada jumlah peruntukan AS$831 bilion untuk tindakan iklim bandar disalurkan kepada tindakan dan usaha adaptasi iklim.

Jurang ketara antara jumlah yang diperlukan dan tersedia ini mendesak keperluan segara untuk strategi kewangan yang lebih berkesan.

Menurut laporan itu, penduduk di bandar turut berdepan dengan cabaran perubahan iklim yang drastik.

Penduduk bandar di seluruh dunia terdedah kepada ancaman banjir yang meningkat 3.5 kali ganda sejak 1975.

Tanpa pelaburan tambahan dalam usaha perancangan untuk mengurangkan risiko, bandar-bandar di pesisir pantai akan mengalami kerugian ekonomi melebih AS$1 trillion menjelang 2050.

Dapatan lain laporan itu turut menggariskan kawasan hijau di bandar merosot dari 19.5 peratus pada 1990 kepada 13.9 peratus pada 2020.

Justeru, UN-Habitat mencadangkan pelaburan strategik untuk mengubah trend ini dan menggalakan tindakan iklim yang berkesan.

Bagi memastikan wujud pembiayaan yang diperlukan, badan dunia itu menekankan pentingnya ada sinergi kerjasama pihak berkepentingan di peringkat serantau, nasional dan multilateral.

Strategi antara lain untuk mengimbangi kesan iklim dan perancangan infrastruktur bandar serta menggalakkan projek perumahan yang rendah karbon di masa akan datang.

Ini akan dapat meningkatkan pelaburan baharu yang lebih lestari di masa akan datang

Laporan Bandar Dunia dilancarkan UN-Habitat sempena penganjuran World Urban Forum 12 (WUF12) yang berlansung di sini, hingga 8 November ini.