KOTA TINGGI: Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia dengan tidak disangka berlaku ketika tempoh penting blok ini apabila pelbagai cabaran besar global secara kolektif mengganggu pertumbuhan mampan ASEAN.

Cabaran itu meliputi Trump 2.0, ketegangan geopolitik dan geoekonomi, peperangan dan konflik berterusan, peningkatan pelbagai pertentangan serta perubahan iklim.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata negara anggota perlu merangka trajektori ekonomi ASEAN di samping mengemudi perjalanan dengan berhati-hati ketika mengharungi orde dunia yang sedang berubah untuk mengatasi cabaran operasi yang besar.

Beliau berkata oleh itu, Permukiman Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-31 yang dijadualkan esok (Jumaat), adalah platform penting untuk memupuk kerjasama dan dialog antara menteri ASEAN.

"Di sebalik keadaan yang mencabar ini, Malaysia sebagai pengerusi telah mencadangkan set Keberhasilan Ekonomi Berkeutamaan (PED) yang dirangka dengan teliti.

"Kami berharap dapat menerima sokongan daripada semua negara semasa permukiman menteri esok," katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan pada majlis makan malam alu-aluan Permukiman AEM ke-31 di Pusat Persidangan Desaru Coast di sini, Khamis.

Tengku Zafrul berkata negara anggota ASEAN perlu bersatu bagi menerajui usaha yang bertujuan mencipta peluang pertumbuhan lebih besar untuk rantau ini.

"Penting untuk bekerjasama rapat supaya kita dapat mengubah semua kekangan ini menjadi peluang untuk kemakmuran inklusif dan mampan di semua negara ASEAN.

"PED mencerminkan keazaman kita untuk bersama-sama membangunkan strategi berkesan yang dapat memanfaatkan kelebihan unik setiap negara anggota demi kebaikan bersama ASEAN," katanya.

Beliau berkata dengan bekerjasama, ASEAN mempunyai daya rundingan yang lebih baik dengan rakan dagang dan rakan pelaburan bagi merangsang inovasi dan membangunkan kapasiti negara anggotanya.

"Ini merupakan instrumen penting untuk mewujudkan rangka kerja ekonomi yang mampan dan berdaya tahan.

"Ini juga akan membolehkan kita menyelesaikan isu semasa, mempersiapkan ASEAN untuk cabaran dan peluang masa depan, serta meletakkan blok ini sebagai peserta yang boleh dipercayai dan dinamik dalam ekonomi global," katanya.

Tengku Zafrul berkata satu naratif utama adalah mempromosikan ASEAN sebagai hab pembuatan dan perkhidmatan dunia dengan cara yang menggunakan pekerja dan sumber aslinya secara adil dan saksama.

"Itulah sebab kami telah memilih 'Keterangkuman dan Kemampanan' sebagai tema kepengerusian ASEAN oleh kami," katanya.

Tengku Zafrul dijadual mempengerusikan permukiman esok dengan para menteri dijangka membincangkan 18 PED, yang bertujuan memperkukuh integrasi ekonomi serantau, meningkatkan keterangkuman, memperkasakan kemampanan, dan merangsang perdagangan digital di rantau ASEAN.

-- BERNAMA