Izham berkata dengan jualan selama enam hari itu menerusi kerjasama Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Selangor dan Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (KoHijrah), rakyat berpeluang menikmati penjimatan sebanyak 30 peratus bagi lima produk makanan asas iaitu ayam, telur, daging, beras serta minyak masak.
Katanya, ayam standard dengan berat purata 1.8 kilogram (kg) akan dijual RM10 seekor berbanding harga pasaran semasa RM17 manakala telur ayam gred B pula pada harga RM10 sepapan berbanding RM13.90 harga pasaran semasa.
"Bagi daging pejal segar, untuk jualan mega ini akan dijual pada harga RM35 sekilogram berbanding harga pasaran semasa RM42 sekilogram, beras pada harga RM10 untuk pek 5 kg dan minyak masak 5 kg pada harga RM25," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kenyataan yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata program jualan bermula esok itu adalah kesinambungan Program Jualan Jelajah Ehsan Rakyat (JER) yang telah dilaksanakan PKPS sejak September tahun lepas.
"Alhamdulillah program JER ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan produk segar habis terjual di hampir semua lokasi jualan. Kami berusaha untuk mendapatkan stok produk segar yang lebih banyak bagi membantu meringankan beban rakyat B40 di Selangor," katanya.
Jadual lengkap serta lokasi program jualan boleh dilayari menerusi pautan https://linktr.ee/myPKPS.
-- BERNAMA