Pejabat Pengetua sekolah itu dalam kenyataan berkata, video yang memaparkan beberapa pelajar perempuan terbabit dalam kejadian buli adalah bertujuan mengelirukan orang ramai dan palsu.
Tegasnya, lokasi video yang diambil tidak diketahui dan langsung tidak berkaitan dengan Sekolah Menengah Kuen Cheng.
"Kejadian yang menyayat hati baru-baru ini melibatkan seorang pelajar Sekolah Menengah Kuen Cheng yang terjatuh hingga maut mendapat perhatian yang meluas daripada orang awam.
"Hari ini, kami menyedari bahawa dua video yang tersebar di media sosial cuba mengaitkan kes buli beberapa gadis dengan insiden tersebut untuk tujuan mengelirukan orang awam dan menyebarkan berita palsu," kata pihak pengurusan sekolah itu, hari ini.
Sehubungan itu, pihak sekolah sudah membuat laporan polis berhubung penyebaran video yang mengaitkan Sekolah Menengah Kuen Cheng dengan kejadian itu.
Dalam kenyataan sama, pihak pengurusan Sekolah Menengah Kuen Cheng juga menyeru orang ramai untuk berhenti menyebarkan maklumat yang tidak sahih dan boleh menyebabkan ketakutan serta salah faham.
Media sebelum ini melaporkan polis mengesahkan seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu maut selepas terjatuh dari bangunan di sebuah sekolah di Jalan Syed Putra, di sini.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood, berkata polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada orang awam pada jam 6.59 petang.
Beliau berkata, mangsa berumur 13 tahun jatuh dari tingkat lapan bangunan sekolah berkenaan dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian.
Kematian mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).