“HISTORIA est Magistra Vitae”, atau sejarah merupakan guru terbaik dalam hidup. Kata-kata ini diucapkan oleh ahli falsafah Rom yang bernama Cicero di dalam karyanya De Oratore.

Benar, barang siapa yang tidak mempelajari sejarah, pasti akan mengulangi kembali kesilapan seperti mana yang tertulis di dalam lembaran sejarah itu sendiri.

Oleh kerana itu, sejarah menjadi sebuah subjek yang sangat penting sekalipun sering kali dianggap membosankan oleh segelintir masyarakat.

Jatuh bangun dan jaya gagal sesebuah bangsa itu berpunca daripada bagaimana mereka mempelajari dan meneladani sejarah supaya ia menjadi inspirasi untuk terus maju ke hadapan.

Sesebuah bangsa dan negara itu tegak berdiri kerana warisan sejarahnya.

Sejarah perjuangan bangsa yang mahukan kehidupan mereka bebas merdeka daripada belenggu penjajahan menjadi inspirasi kedaulatan sesebuah negara itu.

Sistem negara moden yang wujud pada hari ini adalah berpunca daripada sekian-sekian bangsa yang ingin menubuhkan negara yang berasaskan bangsa mereka tanpa perlu berada di bawah telunjuk sesebuah bangsa yang lain.

Sekurang-kurangnya itulah idea asal penubuhan sistem negara bangsa moden yang diwarisi sehingga kini.

Sekalipun secara realistiknya tidak ada sebuah negara bangsa moden pun yang ada pada hari ini didiami oleh sesebuah bangsa atau kaum sahaja.

Banyak negara atau empayar yang telah melewati zaman-zaman gemilang mereka dengan berbagai cara sama ada melalui cara diplomasi mahupun peperangan.

Serangan yang berakhir dengan penjarahan semata-mata demi melampiaskan nafsu kuasa dan ekonomi senantiasa menghiasi kitab-kitab riwayat dan hikayat.

Bermula dari zaman Peloponessian War sehingga ke saat ini, dunia tidak pernah bosan dari menjadi saksi bisu betapa manusia ini sifatnya tidak pernah puas dengan apa yang ada.

Jika tidak mampu untuk menakluk pihak yang lain, maka mereka akan bekerjasama dengan musuh kepada musuh mereka demi menjatuhkan musuh mereka tersebut.

Tamak dan gila kuasa adalah antara punca utama kepada kejatuhan sesebuah kuasa itu ke dalam pelimbahan sejarah.

Begitu juga dengan beberapa peristiwa kejatuhan kuasa yang pernah melalui era gemilang namun ditamatkan riwayat oleh “orang dalam” sendiri, semata-mata tidak berpuas hati dengan apa yang diterima oleh mereka.

Berpecahnya negara-negara Arab dari naungan Uthmaniyyah kerana sesetengah orang Arab yang mementingkan semangat kabilah berbanding kesatuan Islam di bawah sebuah panji.

Demi cita-cita untuk berkuasa di tanah Hijaz, ada pihak berbangsa Arab meminta seorang Inggeris bernama Thomas Edward Lawrence yang lebih dikenali sebagai Lawrence of Arabia untuk membantu mereka berkuasa di tanah Hijaz, seterusnya membebaskan diri dari naungan Uthmaniyyah.

Sentimen nasionalisme Arab menjadi asal muassal kepada perlawanan bangsa Arab kepada Turki Uthmaniyyah sekalipun memiliki akidah yang sama.

British, sebagai saingan Turki Uthmaniyyah di dalam Perang Dunia I, tanpa berlengah bekerjasama dengan Perancis “membantu” negara-negara Arab terbabit untuk bebas dari naungan Uthmaniyyah.

Sedangkan ia adalah strategi British untuk memegang leher dan tengkuk negara-negara Arab yang dibantunya untuk terus mengikut telunjuk dan acuan mereka.

Dalam masa yang sama, kekuasaan Uthmaniyyah dapat ditamatkan.

Rentetan itu, umat Islam tiada lagi sebuah kesatuan yang memayungi mereka, manakala negara-negara Arab masing-masing selesa dengan selimut kebangsaan masing-masing dengan tanpa sedar telah diperbudak dan dipergunakan oleh kuasa Barat untuk mencapai keinginan dan cita-cita mereka.

Hasilnya, tidak ada sebuah kuasa yang datangnya dari dunia Islam mampu menggagalkan Perjanjian Belfour dan tindakan barbarik Israel membuli dan menindas umat Islam di Palestin dari dulu hingga kini.

Penjajahan di rantau kepulauan Nusantara juga berpunca daripada perpecahan dalaman sehingga menghadirkan peluang yang bukan kepalang buat kuasa Barat menapak di rantau ini.

Runtuhnya empayar Kesultanan Melayu Melaka adalah kerana berlakunya perpecahan dan ketidakpuasan hati dalam kalangan pembesar dan rakyat.

Apabila para pemimpin saling bersengketa, maka pentadbiran dan pemerintahan tidak dapat dijalankan secara berkesan.

Korupsi bermaharajalea, pelbagai komplot yang akhirnya membuahkan sabotaj menjadikan rakyat tidak berpuas hati dengan pemerintah.

Akhirnya negara kucar kacir sehingga armada Portugis berjaya meluluh lumatkan pertahanan Kota Melaka yang terkenal kebal dan hebat dengan sistem pertahanan dan armada ketenteraanya.

Bermula dari situ, sebuah wilayah yang maju dalam pelbagai aspek akhirnya menjadi tanah jajahan.

Bangsa yang mendiami wilayah yang dipanggil semenanjung emas ini telah dimandulkan daya pemikiran dan inteleknya sehingga tidak berdaya bangkit mengulangi sejarah manis keagungan empayar Melaka lagi.

Ini semua berlaku kerana perpecahan dan sabotaj dari dalam yang melemahkan empayar Melaka dalam menangkis serangan Portugis.

Kegagalan pembesar Melaka untuk mengawal pedagang-pedagang dari China juga menjadi asbab kepada pedagang-pedagang China membantu armada Portugis dalam menyalurkan bantuan risikan dan keperluan kepada tentera Portugis sepanjang pertempuran berlangsung.

Begitu juga dengan terpisahnya empayar Johor-Riau. Perebutan kuasa antara dua waris Kesultanan Johor-Riau telah membuahkan peluang keemasan kepada Stamford Raffles masuk campur, seterusnya menjadikan Singapura yang pada ketika itu sebahagian daripada wilayah Kesultanan Johor-Riau sebagai tanah jajahan British.

Kerajaan Johor-Riau juga telah berpecah sehingga akhirnya Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 memuktamadkan perpecahan sebuah empayar yang dikatakan sebagai pewaris kepada Kesultanan Melayu Melaka.

Hari ini, pulau-pulau seperti Pulau Singapura, Pulau Lingga, Pulau Penyengat, Pulau Bintan dan pulau-pulau lain di selatan negeri Johor telah menjadi milik negara lain.

Sejarah dengan jelas mengajar kita bahawa kejatuhan dan keruntuhan sesebuah negara atau empayar itu bermula apabila kita gagal bersatu padu.

Perebutan kuasa, sabotaj, fitnah memfitnah adalah senjata ampuh merosakkan kekuatan dalaman negara.

Demi mendapatkan kuasa yang tidak seberapa, ada segelintir dari kita sanggup bekerjasama dengan mereka yang terang-terangan memusuhi nilai-nilai kita, demi menjatuhkan mereka yang dianggap sebagai saingan untuk mencapai kuasa.

Benar, di dalam siasah syariah terdapat sebuah bab penting yang dikenali sebagai perjanjian persefahaman politik atau tahaluf siyasi.

Islam membenarkan hal ini namun diiringi dengan syarat utama iaitu kebijaksanaan.

Kebijaksanaan ini adalah apabila seluruh kekuatan kita telah bersatu padu tanpa adanya perpecahan, namun demi menegakkan keharmonian, perjanjian dengan mereka yang berlainan agama dan nilai dibolehkan.

Walau bagaimanapun, jika kita sendiri telah berpecah kepada enam pihak, perlu untuk kita menyatupadukan pihak kita terlebih dahulu sebelum menjalankan usaha tahaluf siyasi ini.

Perpecahan, perebutan kuasa, fitnah memfitnah dan sabotaj sesama kita lebih menjadikan usaha tahaluf siyasi itu berbahaya, kerana di situ terlihat kekurangan daya kebijaksanaan kerana menjalinkan hubungan politik dengan pihak lain namun, dalam masa yang sama berpecah belah sesama kita.

Ia akan memudahkan pihak lain untuk menghancurkan kita dengan lebih dahyat lagi.

Seperti mana kisah-kisah sejarah yang telah disebutkan, adakah kita tidak pernah mahu belajar dari sejarah perpecahan?

Benar kata-kata yang diucapkan oleh Jose Rizal di dalam bukunya yang bertajuk El Filibusterismo betapa hamba pada hari ini akan menjadi zalim pada hari esok ketika mereka berkuasa.

Zalim kerana leka bersengketa untuk mendapatkan, mengekalkan dan meningkatkan kuasa tanpa memikirkan kemaslahatan rakyat secara keseluruhannya.

Akhirnya, berlaku zalim kepada generasi kemudian kerana kegagalan kita untuk bersatu demi menyediakan masa hadapan yang gemilang kepada generasi akan datang.

Kemerdekaan ini bukanlah hak milik kekal melainkan ia perlu sentiasa dipelihara dan dipulihara dengan keazaman politik yang padu dan jitu.



* Hisyam Basabah merupakan penulis bebas dan penganalisis sosial.

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.