PUTRAJAYA: Perkarangan bangunan Istana Kehakiman di sini didapati dipenuhi orang awam yang lebih ramai daripada biasa sejak jam 7.30 pagi ini.

Tinjauan Astro AWANI mendapati premis perniagaan yang menyajikan sarapan turut dikunjungi pengunjung yang memakai pakaian santai.

Seorang peniaga yang ditemui, Khairul Rizal berkata, dia menerima jumlah pelanggan luar biasa pada hari ini.

“Sudah tiga tahun berniaga di sini, hari ini memang meriah. Ramai orang datang sejak awal pagi,” katanya ringkas.

Dalam pada itu, salah seorang pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Wan memberitahu, dia berada di lokasi bagi menyokong bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak atas kapasiti peribadi, bukan mewakili parti.

Sementara itu, turut kelihatan di lokasi, beberapa pimpinan politik termasuk Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Pesuruhjaya Pas Perak Razman Zakaria, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar, Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, Ketua UMNO Subang Datuk Arman Azha Abu Hanifah dan Setiausaha Veteran UMNO Datuk Mustapha Yaakob. 

Semalam, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan orang ramai untuk tidak berhimpun di Istana Kehakiman khususnya bagi 'Himpunan Solidariti Datuk Seri Najib Razak'.

Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Aidi Sham Mohamed berkata, perhimpunan tersebut tidak mendapat kebenaran, sekali gus tidak mematuhi syarat termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman 2012.

Katanya, tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana individu yang menyertai himpunan yang melanggar undang-undang.

Foto Astro AWANI

Menurut Aidi Sham lagi, 456 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan membuat kawalan keselamatan di Istana Kehakiman dan kawasan sekitarnya.

Beliau menjelaskan, permohonan penganjuran himpunan itu yang diterima pada 31 Dis lalu, ditolak kerana tidak memenuhi syarat dan keputusan sudah dimaklumkan kepada penganjuran pada Jumaat lalu. 

Mahkamah Rayuan menetapkan hari ini sebagai tarikh pendengaran rayuan bekas perdana menteri itu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan Titah Adendum.

Mahkamah Tinggi sebelum itu menolak permohonan semakan kehakiman dan notis usul yang difailkan oleh Najib bagi mengemukakan keterangan tambahan berhubung Titah Adendum yang dikatakan dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong terdahulu mengenai tahanan rumah. 

Jumaat lalu, Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan parti itu membatalkan satu perhimpunan bagi menyokong Najib yang dijadualkan di Putrajaya.

Pembatalan itu dibuat selepas Istana Negara memaklumkan permohonan pengampunan atau pengurangan hukuman bagi mana-mana banduan hendaklah dikemukakan sendiri oleh banduan berkenaan untuk dipertimbangkan Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong.