"Sistem ini akan mencerminkan tabiat pemanduan selamat pengguna jalan raya, dengan parameter berdasarkan pelanggaran peraturan lalu lintas atau kemalangan yang berlaku," kata Ketua Kor Trafik, Inspektor Jeneral Aan Suhanan, dalam satu kenyataan pada Ahad.
Suhanan menjelaskan setiap pemegang lesen memandu akan diberikan 12 mata setiap tahun, yang akan ditolak setiap kali mereka melanggar peraturan lalu lintas. Sekiranya kesemua mata mereka habis, lesen memandu akan dibatalkan.
Menurut beliau, pelanggaran kecil akan mengurangkan satu mata, pelanggaran tahap sederhana tiga mata, manakala pelanggaran besar menyebabkan pengurangan lima mata.
"Manakala, kemalangan yang menyebabkan kematian akan menyebabkan pengurangan 12 mata, dan pelanggaran seperti langgar lari boleh mengakibatkan pembatalan lesen memandu secara kekal," kata Suhanan.
Rekod mata demerit ini akan dimasukkan ke dalam semakan rekod jenayah peribadi (SKCK) yang dikeluarkan kepada penduduk. SKCK merupakan satu daripada syarat untuk mendapat pekerjaan dalam beberapa profesion.
"(Rekod ini) akan menyatakan pelanggaran peraturan lalu lintas atau kemalangan yang disebabkan oleh pemegang lesen memandu," katanya.
Beliau berkata selain melaksanakan sistem mata demerit, pihaknya akan memperkukuh penguatkuasaan undang-undang lalu lintas secara elektronik (ETLE) untuk meningkatkan pematuhan pemandu terhadap peraturan dan tabiat pemanduan selamat.
--BERNAMA-ANTARA