Sehubungan itu, Pengerusi Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata SC akan melancarkan set peralatan untuk membantu syarikat beralih daripada Inisiatif Pelaporan Global (GRI) kepada garis panduan Lembaga Piawaian Kelestarian Antarabangsa (ISSB).
"Tahun lalu, kami membayar 100 akauntan untuk melakukan GRI (dan) kami mungkin akan melakukannya untuk 50 lagi tahun ini.
"Kami akan melancarkan set peralatan yang membolehkan anda beralih daripada GRI ke ISSB, dan kami akan memberikannya kepada semua secara percuma," katanya semasa pelancaran sulung Kaji Selidik Pengarah Korporat PwC Malaysia 2024.
Mohammad Faiz berkata Malaysia juga berminat untuk belajar dari Singapura, yang telah membangunkan akaun model untuk ISSB berdasarkan sektor hartanah.
"Ia memang menarik, tetapi kita mempunyai sektor seperti pembinaan, minyak sawit, dan kewangan -- bagaimana pula dengan sektor itu? Sebab itu kami kini menghantar orang untuk mereplikakan apa yang Singapura lakukan," katanya.
Beliau berkata, banyak syarikat tersenarai yang besar telah memulakan proses itu kerana mereka perlu mematuhi bidang-bidang kuasa lain.
"Kebimbangan saya adalah untuk seluruh (syarikat) tahun depan," katanya.
Mohammad Faiz seterusnya menegaskan NSRF mewakili komitmen Malaysia untuk memastikan sektor korporat Malaysia dapat memberikan maklumat kelestarian yang konsisten, setanding dan boleh dipercayai.
Beliau berkata SC juga telah memperkenalkan inisiatif yang dipanggil "PACE", yang direka untuk membantu syarikat berjaya mengguna pakai NSRF, menawarkan pelbagai sumber, termasuk panduan dasar, kalkulator pelepasan, dan program pembinaan kapasiti bagi memastikan syarikat dari semua saiz boleh memenuhi keperluan pelaporan kelestarian.
Sementara itu, di peringkat ASEAN, SC mendorong dan mempromosikan taksonomi serantau untuk penyesuaian yang dipanggil "MARS" (mitigasi, penyesuaian, daya tahan dan kelestarian) dan di pasaran karbon.
Beliau berkata SC akan mempengerusikan Forum Pasaran Modal ASEAN (ACMF), kumpulan peringkat tertinggi pengawal selia pasaran modal daripada semua 10 bidang kuasa ASEAN, membolehkannya merangka pelan pasaran modal serantau untuk lima tahun akan datang.
ACMF terdiri dari Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Beliau menambah SC mendapat pandangan yang sangat kuat bahawa pasaran karbon harus dikawal selia di peringkat ASEAN.
Berikutan pelancaran NSRF tahun lepas, Malaysia menyertai lebih daripada 20 bidang kuasa untuk melaksanakan piawaian pelaporan.
NSRF akan memerlukan syarikat yang tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia dan ACE, bersama-sama dengan firma besar tidak tersenarai yang menjana pendapatan tahunan RM2 bilion atau lebih, untuk mematuhi piawaian pelaporan kelestarian baharu.
Kira-kira 130 syarikat, atau penerbit besar tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia perlu mematuhi Piawaian Pelaporan Kewangan Antarabangsa (IFRS) S1 dan S2 mulai 2025, dengan tumpuan kepada pendedahan iklim.
Syarikat-syarikat ini mempunyai kesan yang ketara terhadap pasaran modal dan mewakili lebih 80 peratus daripada permodalan pasaran di Bursa Malaysia dengan pelaporan pertama akan dikeluarkan pada 2026.
Baki penerbit tersenarai di Pasaran Utama iaitu Kumpulan 2, akan menerima pakai piawaian itu bermula pada 2026, diikuti dengan Kumpulan 3 merangkumi penerbit tersenarai di Pasaran ACE serta syarikat besar yang tidak tersenarai pada 2027.
-- BERNAMA