Itu luahan Rokiah Sulaiman, 58, mangsa kejadian kepala air dan banjir lumpur di Kampung Masjid Iboi, yang masih bimbang kejadian sama akan berulang kembali.
Ibu kepada tiga anak ini menceritakan kembali detik kejadian yang berlaku pada jam 5.15 petang itu hampir meragut nyawanya dan anak bongsunya kerana air deras berpusing menenggelamkan keseluruhan rumahnya.
Menurut Rokiah, ketika itu dia berada di dalam rumah bersama anaknya sementara suaminya Mohd Bakri Yahaya, 59, keluar untuk mengambil anak keduanya yang berkerja di sebuah farmasi di pekan Baling.
Katanya, ketika itu air datang dengan laju dan dia hanya sempat berpaut pada kerusi kayu sebelum diselamatkan anak bongsunya.
"Tenggelam semua lah, air paras tinggi tenggelam habis.
"Saya hanya mampu sebut ya Allah selamatkanlah saya, lepas itu timbul satu kerusi dan saya dapat berpaut kerusi itu," katanya.
Katanya, lumpur setebal setengah meter di dalam rumah menyebabkan dia terpaksa mengambil masa yang lama untuk membersihkan rumah ditambah pula ketiadaan bekalan air paip menyukarkan kerja mencuci.
Baginya sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini adalah pengorbanan buat mereka sekeluarga selepas semua barangan kelengkapan rumah dan perabot musnah dibawa arus deras.
"Mak cik reda sahajalah, makan ala kadar sahaja, itu pun orang bagi.
"Nak masak sinki tersumbat, nak masak macam mana? Makan pun harap orang bagi sahaja, anak kata dia tempah dekat kawan dia, mak kawan dia," katanya.
Sementara itu bagi anak bongsu Mohamad Arif Mohd Bakri, 20, pelajar jurusan elektrik Institut Kemahiran Mara (IKM) Baling, segala peralatan belajar seperti komputer riba, telefon pintar dan buku semuanya musnah.
Katanya, dia reda dan apa yang penting dia dapat menyelamatkan nyawa ibunya dalam kejadian yang sangat dasyat itu.
"Fikir nak selamatkan diri dengan mak sahaja, Barang-barang itu tak apa, nanti boleh beli lain ganti.
"Fikir selamatkan mak dahulu," katanya.