Naib Canselor UniMAP Prof Datuk Dr Zaliman Sauli berkata sebagai sebuah universiti di bawah Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN), universiti itu ketika ini mempunyai enrolmen sekitar 13,000 pelajar.
"Bertekad untuk itu, UniMAP perlu bersiap siaga dalam mengubah cara berfikir dan cara bertindak. Ini memastikan langkah universiti kekal ke arah matlamat yang sama dengan ketinggian ilmu, keikhlasan hati bagi mencapai kecemerlangan bersama untuk menyokong kemajuan negara," katanya dalam temu bual bersama Bernama baru-baru ini.
Beliau berkata di bawah pelan berkenaan, ia memberikan fokus bagi meningkatkan minat golongan muda memasuki universiti teknikal itu selain mempelbagaikan akses kemasukan pelajar serta menipiskan jurang pendidikan tinggi kepada semua termasuk golongan rentan.
Zaliman berkata Pelan Strategik UniMAP 2026-2030 adalah kesinambungan Pelan Strategik UniMAP 2018-2025 merangkumi lima teras utama dan tiga teras pemangkin yang kini telah memasuki fasa ketiga pelaksanaannya.
"Untuk memastikan pelaksanaan aktiviti dan inisiatif berjaya dicapai, semua sasaran diletakkan kepada fakulti dan pusat tanggungjawab berkaitan. Pemantauan pencapaian sasaran dilaksanakan setiap suku tahun dan prestasi UniMAP 2025 boleh dilihat secara dalam talian melalui sistem dalam talian iaitu Sistem ePIC," katanya.
Pelan strategik UniMAP juga turut dipadankan dengan hala tuju Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang memberikan penekanan kepada lima fokus utama meliputi 20 landasan hala tuju yang akan dilaksanakan sepanjang tahun ini, ke arah peningkatan prestasi kecemerlangan pendidikan tinggi.
"Lima fokus utama yang ditekankan oleh Menteri (Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir) ialah penyediaan bakat terbaik negara, pengukuhan ekosistem penyelidikan dan inovasi, pelaksanaan pendekatan baharu program pemindahan dan perkongsian ilmu, pengantarabangsaan pendidikan tinggi serta pemantapan ekosistem pemboleh daya.
"Jadi, UniMAP mendukung aspirasi KPT ini dengan pelan hala tuju dan tindakan yang sistematik dan berkesan bagi menghasilkan bakat atau graduan tersedia industri," katanya.
Zaliman berkata UniMAP juga turut mengambil beberapa tindakan strategik untuk memperkukuh pembangunan dan penyampaian kurikulum terutama dalam konteks pendidikan kejuruteraan dan teknologi.
Beliau berkata elemen Revolusi Industri 4.0 seperti teknologi kecerdasan buatan (AI), Internet pelbagai benda (IoT), Analisis Data Raya dan Automasi telah diintegrasikan ke dalam kurikulum dengan matlamat memastikan graduan dilahirkan relevan dengan keperluan industri.
"Buat masa ini, UniMAP menawarkan sebanyak 43 program prasiswazah di samping pelbagai program di peringkat ijazah lanjutan iaitu Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) dalam pelbagai bidang meliputi aliran kejuruteraan, teknologi, perniagaan dan komunikasi," katanya.
UniMAP turut mempunyai Pusat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang dibangunkan dengan kerjasama industri yang menawarkan kursus pensijilan profesional kepada graduan dan pekerja industri sebagai nilai tambah kepada kemahiran sedia ada.
"Di samping itu, UniMAP giat bekerjasama dengan institusi luar negara seperti China, Jepun, Korea Selatan dan beberapa negara lagi bagi membangunkan program kerjasama antarabangsa melalui program dwiijazah dan ijazah bersekutu. Perkara ini menyokong hasrat KPT agar Malaysia menjadi hab pengajian antarabangsa.
"Terbaharu, UniMAP telah menubuhkan kampus di Cyberjaya bagi penawaran program akademik kepada pelajar luar negara dengan pengambilan pelajar bermula Oktober 2024 dan kita menyasarkan menerima 2,000 pelajar luar negara di kampus ini dalam tempoh tiga tahun akan datang," katanya.
Zaliman berkata selain itu, UniMAP juga menyediakan pelbagai inisiatif strategik berteraskan Research Quality, Visibility and Social Engagement (RiSE) yang merangkumi keseluruhan ekosistem penyelidikan, inovasi, pengkomersialan, pemindahan teknologi serta ilmu kepada industri dan komuniti, tahun ini.
"Aktiviti penyelidikan bersama industri, membawa kepada pengkomersialan hasil penyelidikan dan inovasi oleh industri. Dana geran yang diterima UniMAP sehingga kini bagi tahun 2024 sahaja telah melebihi RM20 juta.
"Penerbitan berimpak terus menjadi sasaran utama penyelidik UniMAP supaya dapat meningkatkan impak penerbitan seterusnya meningkatkan keterlihatan dan kewibawaan universiti. Sehingga kini, lebih 1,000 penerbitan berimpak telah dihasilkan dalam tahun ini," katanya.
UniMAP juga mempergiat lagi aktiviti menjana dana sendiri melalui wakaf tunai dan sumbangan alumni selain penjanaan dana menerusi penawaran program akademik kepada pelajar luar negara di kampus baharu di Cyberjaya.
"Kerajaan telah menetapkan penjanaan sekurang-kurangnya 20 peratus sumber dalaman kepada UniMAP bagi menampung jumlah perbelanjaan operasi mengurus tahunan. Di samping itu, aspek penjimatan dalam pengoperasian telah ditumpukan dengan mengaplikasikan pendekatan 'lean thinking'.
"Pendekatan ini merujuk kepada kemahiran berfikir berterusan yang mengutamakan nilai atau value sesuatu kerja. Jika pemikiran ini dapat diterap dan diamalkan oleh setiap lapisan warga UniMAP, bukan sahaja pengoperasian sesuatu kerja dapat dioptimumkan malah ia menyumbang kepada aspek penjimatan yang signifikan," katanya.
-- BERNAMA