Bermula dengan hanya mengisi masa lapang dengan aktiviti melukis, siapa sangka Sufi Suraya Halim, 21 tahun, dapat menghadiahkan hasil lukisan potret wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak kepada beliau sebaik selesai program #Bajet2018 Bersama Rakyat: Pelajar dan Belia di Dewan Ilmu UniMAP baru-baru ini.

Sufi Suraya, pelajar tahun akhir Diploma Kejuruteraan Pembuatan sama sekali tidak menduga minat beliau menghasilkan lukisan potret pengurusan tertinggi UniMAP membuka peluang untuknya menghasilkan potret Perdana Menteri keenam Malaysia itu.

"Saya sendiri rasa macam bermimpi apabila Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UniMAP, Prof Madya Dr Mohd Fo'ad Sakdan bertanya sama ada saya berminat untuk menghasilkan lukisan potret Perdana Menteri untuk dijadikan cenderahati.

Potret tersebut disampaikan oleh Naib Canselor UniMAP sebagai cenderahati buat Perdana Menteri. - AWANI Rangers UniMAP
"Bagai pucuk dicita ulam mendatang, saya menerima tawaran tersebut dan Alhamdulillah, lukisan potret Perdana Menteri ini dapat disiapkan dalam tempoh lebih kurang seminggu.

"Lebih membanggakan, apabila saya turut berpeluang berada bersama-sama Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal, sewaktu menyampaikan potret berkenaan.

"Ia pastinya akan menjadi kenangan yang cukup bermakna buat saya," ujarnya yang mula berjinak-jinak dalam bidang seni lukis semenjak usia 14 tahun.

Menurut Sufi Suraya, sewaktu di sekolah menengah, minatnya lebih menjurus terhadap lukisan kartun dan komik selain lukisan-lukisan yang mudah sesuai dengan usianya.

Namun, segalanya berubah apabila mendapat inspirasi daripada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh yang sering menggalakkan mahasiswa mencari pendapatan sampingan sewaktu di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).

"Dari situ, saya mula mencuba lukisan potret yang akhirnya membuka ruang dan peluang untuk saya menjana kewangan. Alhamdulillah, sambutan yang diterima amatlah menggalakkan, dan saya bersyukur dengan bakat yang Allah kurniakan buat saya," jelasnya.

Selain Perdana Menteri, Sufi Suraya berkata, beliau juga telah menyiapkan lukisan potret Datuk Seri Idris Jusoh serta Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein dan berhasrat untuk menyerahkannya sendiri kepada kedua-dua tokoh berkenaan jika berkesempatan.


*Laporan ini disediakan oleh Awani Rangers UniMAP, Athirah Khadijah Anuar.

**Awani Rangers ialah inisiatif Astro AWANI bagi menggalakkan pelajar Institut Pengajian Tinggi untuk berkongsi cerita serta menghasilkan bahan berita dan informasi dalam era kewartawanan moden.

***Awani Rangers UniMAP ialah inisiatif kerjasama strategik Astro AWANI dan Universiti Malaysia Perlis.