BANGKOK: Thailand telah mengumumkan kemas kini kepada program visa pemastautin jangka panjang untuk meningkatkan daya tarikannya kepada pakar, pelabur dan eksekutif asing dalam usaha memperkukuh kumpulan profesional berkemahiran tinggi serta daya saing global negara Asia Tenggara itu, lapor Xinhua.

Perubahan yang diluluskan Kabinet minggu ini, termasuk peluasan sektor sasaran bagi profesional berkemahiran tinggi kepada pelbagai bidang bukan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), seperti pembangunan dan kemampanan serta pengurusan bencana dan risiko, menurut Lembaga Pelaburan Thailand (BOI).

Keperluan pengalaman kerja minimum lima tahun bagi profesional dalam bidang berkaitan telah dimansuhkan untuk meningkatkan kebolehcapaian bagi pemohon berpotensi tinggi dalam industri baharu, kata BOI dalam satu kenyataan pada Rabu.

Kemas kini itu juga melibatkan pengurangan ambang pendapatan bagi syarikat yang membenarkan pekerja bekerja dari Thailand dan menghapuskan keperluan pendapatan tahunan minimum bagi visa di bawah kategori warganegara global yang kaya, mengalihkan tumpuan kepada kekayaan terkumpul dan pelaburan di negara itu.

Pendekatan yang lebih inklusif dan berdaya saing ini akan memperkukuh kedudukan Thailand sebagai hab global untuk pelaburan dan bakat berpotensi tinggi, kata Setiausaha Agung BOI Narit Therdsteerasukdi.

Diperkenalkan pada 2022, program visa jangka panjang menawarkan permit pemastautin selama 10 tahun, permit kerja digital dan keistimewaan cukai pendapatan individu, antara lain, dengan lebih 6,000 pemohon berjaya mendapatkan visa mereka setakat ini.

-- BERNAMA