Pelancaran manifesto Jaminan Orang Muda (JOM), yang bertemakan “Bersama, Kita Hebatkan Orang Muda” yang disempurnakan Pengerusi Pemuda BN Khairy Jamaluddin itu, mempunyai lapan jaminan, yang menyentuh dari aspek kehidupan, sosial, dan kewangan.
“Dan saya sendiri minta, saya sendiri akan memastikan bahawa untuk menjaga reputasi Pemuda, Puteri dan saya sendiri, perkara ini akan menjadi satu realiti,“ katanya.
Beliau berkata pada sidang media, ketika ditanya mengenai jaminan Kerajaan Barisan Nasional untuk memastikan setiap yang digariskan dalam manifesto itu dilaksanakan sepenuhnya dalam tempoh lima tahun akan datang.
Dalam manifesto itu juga terkandung janji Pemuda BN untuk menambah baik struktur gaji bagi anak muda, melahirkan lebih banyak usahawan muda, menyediakan Pas Bulanan Transformasi Nasional 2050 (TN50, serta memberi bantuan kepada semua segmen belia termasuk orang kurang upaya, belia orang Asli, dan bekas banduan juvana.
Selain itu, generasi TN50 akan diberi peluang yang meluas bagi mencorak hala tuju negara dalam menuju ke tahun 2050.
Ketika membentangkan manifesto itu di hadapan kira-kira 1,500 anak muda di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Khairy berkata, hujah yang mengatakan baru pilihan raya nak memberi janji itu ini terlalu cetek dan dangkal.
Katanya lagi, waktu pilihan raya adalah masa yang tepat untuk memperbaharui visi dan perancangan untuk masa hadapan.
“Saya bukan di sini untuk sembang kosong, menjanjikan anda bulan dan bintang. Janji madu beracun yang tidak mungkin dapat dilaksanakan.
"Tetapi apa yang telah kami bentangkan pada hari ini adalah jaminan yang boleh kami laksanakan. Jaminan yang telah disemak kira,” katanya lagi.