Demi ayahnya, Tasnim Radzi akan mencuba mencari dana secukupnya untuk membayar bil perubatan Mohd Radzi Abd Hadi yang mengalami serangan jantung semasa di Amerika Syarikat (AS).

Kakitangan awam dari Kedah itu menjelaskan, pada ketika ini mereka memerlukan USD 196,062.02 (RM800,000.00) untuk melangsaikan kos hospital ayahnya.

"Ayah kena serangan jantung ketika bercuti bersama keluarga di Phoenix, Arizona, Amerika Syarikat.

"Ayah sesak nafas dan apabila di Hospital Dignity Health California, doktor memberitahu jantungnya terhenti seketika namun sempat diselamatkan dan koma selama tiga hari," katanya dalam catatan di laman sesawang kutipan dana 'go fund me'.


Tasnim juga memuat naik catatan berkenaan di laman Facebook miliknya.

Jelasnya, serangan jantung itu berlaku pada 9 Disember lalu ketika mereka sekeluarga dalam perjalanan dari Santa Monica ke Arizona.

Mengimbau kembali Tasnim memberitahu, mereka tiba di Lapangan Terbang Los Angeles pada 8 Disember untuk berjumpa kakak dan suaminya yang juga seorang pelajar di Universiti, Arizona.

Tambahnya, sebelum ini doktor memutuskan untuk menggunakan kaedah therapeutic hypothermia dan selepas tiga hari koma, akhirnya ayah saya sedar selain ia digelar keajaiban oleh doktor yang merawatnya.

"Hal ini kerana, peluang untuk seseorang individu bangkit dari koma selepas mendapat serangan jantung terhenti adalah sangat rendah. Kini selepas lapan hari di hospital, ayah saya dibenarkan pulang.

"Ayah sekarang sedang berehat di rumah kakak saya di Arizona. Namun saya dan keluarga sedang menanggung kos rawatan daripada pihak hospital sebanyak hampir RM1 juta. Saya harap bantuan selesaikan bil RM1 juta ayah.

"Nilai ini tidak termasuk bil-bil daripada pihak doktor dan makmal yang berkaitan yang akan kami terima secara berasingan. Jumlah yang sangat di luar kemampuan kami," ujarnya.


Penyanyi Yuna antara yang melawat Radzi semasa di hospital - Sumber gambar www.gofundme.com

Katanya lagi, mereka mempunyai insurans perjalanan sebanyak RM300,000 namun pihak insurans memaklumkan bahawa mereka perlu menyelesaikan dahulu bayaran tersebut.

"Selepas itu dan barulah kami akan dibayar semula oleh pihak insurans," katanya.

Katanya lagi, sumbangan boleh dihulurkan ke akaun Bank Islam 12122020088470 (Tasnim Binti Mohd Radzi), Maybank 162487109218 (Abdul Rahimi Bin Abdul Rahman) atau GoFundMe www.gofundme.com/urgent-md-radzi-heart-failure-fund

Tambahnya, sehingga 24 Disember, mereka sudah mendapat sumbangan dari akaun Bank Islam RM1,300 (USD309), Maybank RM2,117 (USD504) dan Go Fund Me RM9,647.40 (USD2,297).

Ujarnya, ayahnya juga sekarang dinasihatkan untuk berehat dan tidak dibenarkan ke mana-mana sehingga minggu pertama Januari kerana keadaannya yang masih lemah.

Maklumat lanjut juga boleh diperolehi daripada laman web www.gofundme.com/urgent-md-radzi-heart-failure-fund