Uncle Kanda hilang pekerjaan sejak terlibat dalam satu kemalangan yang menyebabkan motorsikalnya rosak dan sejak itu lelaki itu diceritakan oleh Steven menjadi gelandangan.
“Semalam ketika berada di Melaka, saya telah terima mesej daripada orang awam bernama Cik Hanis minta saya bantu seorang 'uncle' yang tidur di sebuah pasar awam di Bukit Mertajam.
“Saya bergegas pulang dan setiba di Bukit Mertajam jam 2 pagi, saya terus turun mencari Uncle tersebut.
“Bila saya sampai, Uncle Kanda sudah pun tidur di kaki lima. Sungguh sayu dan tidak sanggup lihat Uncle yang umur sudah boleh jadi datuk orang sebegitu rupa.
"Malam itu juga, saya bawa uncle ke hotel berdekatan. Uncle beritahu saya, dia sudah 6 bulan tak tidur atas katil,” coret Steven dalam posting terbaru di Facebook.
BACA: Abaikan mesyuarat penting, Steven Sim bantu ibu 10 anak dihalau dari rumah sewa
Jelas Steven lagi, keesokan paginya, beliau membawa Uncle Kanda pergi membeli baju baharu dan membuat pemeriksaan kesihatan.
Apa yang lebih menyentuh hati apabila motorsikal Uncle Kanda yang terlibat dalam kemalangan sudah setahun tersadai di bengkel motor kerana lelaki itu tidak mampu membayar kos baiki.
“Sejak dari pagi Uncle Kanda berkali-kali cakap tentang motorsikalnya yang kemalangan. Saya menghubungi kedai untuk tanya tentang perkara ini. Sebenarnya, motor itu dah siap dibaiki hampir setahun, tapi sebab tak mampu nak bayar kos RM570, dia tak dapat ambil motor itu.
“Tuan kedai yang baik hati siap bagi potongan harga, tapi masalahnya, oleh sebab dah lama tak pakai dan motor itu asalnya pun dah agak usang, enjin dia macam kena COVID-19, sekejap boleh start, sekejap tak boleh start, bila start dia batuk terkahak-kahak.
"Tuan kedai kata enjin memang kena overhaul, sekurang-kurang kena bayar RM600 lagi. Jumlah lebih kurang RM1,100. Tak mengapa, saya bayar, asalkan Uncle dapat balik motornya,” cerita Steven.
Steven juga mencari pekerjaan buat Uncle Kanda serta rumah baharunya sementara menunggu permohonan rumah Kerajaan diluluskan.
“Saya juga telah mendapatkan kerja untuk Uncle Kanda sebagai pengawal keselamatan, gaji sekurang-kurangnya RM1,200 sebulan. Tapi saya beritahu ketua tempat kerja, bagi Uncle rehat seminggu dua dulu.
"Akhirnya saya bawa Uncle Kanda ke rumah baharunya. Sewa bulan-bulan saya dah bayarkan. Dalam pada itu, pejabat saya akan bantu mohon rumah kerajaan.
"Mulai sekarang, Uncle Kanda sudah ada rumah baharu. Tak perlu bangun sebelum Subuh untuk mengelakkan penjaja dan pengunjung pasar awam.
"Tak perlu tidur tilam basah dan busuk. Tak perlu mandi di tandas awam. Tak perlu merayau meminta ihsan orang ramai untuk makan dan minum. Maafkan saya kerana lambat sampai, tapi saya janji saya tak akan biarkan Uncle Kanda tidur di kaki lima lagi,” ceritanya.
Perkongsian Steven mendapat lebih seribu perkongsian dari pembaca, dan rata-rata memuji tindakan pantas Steven. Bagaimanapun tiada maklumat lanjut mengenai keluarga Uncle Kanda yang dikongsikan Steven.