Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) menyasar mewujudkan sebuah RisSMart di setiap kawasan Parlimen menjelang 2020 bagi memperkasakan usahawan bumiputera di seluruh negara.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sasaran itu akan menyaksikan penglibatan pelbagai agensi di bawah kementeriannya agar ia dapat direalisasikan.

Jelas Ismail sebelum ini pihaknya meletakkan sasaran sebuah RisSMart bagi setiap negeri.


"Kita akan menjadikan sasaran 1 Parlimen 1 RisSMart sebagai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kementerian. Jika mahu diletakkan di bawah Risda sahaja, mungkin ia memerlukan modal yang tinggi.

"Jadi kita akan mengarahkan agensi lain di bawah kementerian untuk menjalin kerjasama dengan Risda seperti menerusi strategi lautan biru untuk bersama-sama merealisasikannya dan dengan (kerjasama) ini, saya yakin hasrat mewujudkan 1 Parlimen1 RisSMart boleh dicapai," katanya," katanya selepas Majlis Perasmian RisSMart Bera di sini, hari ini.


Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan, Datuk Mohd Fadil Osman, Pengerusi Risda, Datuk Zahidi Zainul Abidin dan Ketua Pengarah Risda, Mohd Najib Samad.

Penglibatan pelbagai agensi di bawah KKLW dalam membina RisSMart katanya lagi mampu mempercepatkan lagi sasaran satu RisSMart satu parlimen.

Ia sekali gus mampu merancakkan lagi keusahawanan dalam kalangan usahawan bumiputera yang dapat memasarkan produk mereka di seluruh negara.

Pada masa ini terdapat enam buah RisSMart di seluruh negara iaitu di ibu pejabat Risda di Kuala Lumpur, Kelantan, Selangor, Melaka, Ulu Keratong, Johor dan Bera, Pahang.

Tahun depan Risda merancang membina tujuh buah lagi RisSMart, menjadikan setiap negeri mempunyai sebuah RisSMart.

Setiap RisSMart yang disertai usahawan bumiputera memasarkan pelbagai produk dan perkhidmatan seperti makanan, kraftangan dan juga perkhidmatan gunting rambut.