KUALA LUMPUR:Sasaran kerajaan Sarawak meningkatkan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri sebanyak lapan peratus menjelang 2030 berbanding lima peratus ketika ini disifatkan langkah yang dinamik.

Penganalisis Politik Universiti Malaya (UM), Prof Dr Awang Pawi Awang Azman, berkata strategi itu membolehkan Sarawak mencapai visi negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Bagaimanapun beliau berpendapat, mengambil kira faktor pandemik COVID-19 yang sedang melanda dunia ketika ini, Sarawak perlu bersedia menangani cabaran secara menyeluruh.

“Dalam situasi pandemik di seluruh dunia termasuk di rantau Asia, untuk kita mencapai pertumbuhan KDNK sebanyak lapan peratus berbanding lima peratus ketika ini saya kira itu satu pandangan yang optimis.

“Ia bagaimanapun agak mencabar untuk dicapai kerana perkembangan ekonomi negara bukan bergantung kepada keupayaan kerajaan negeri sahaja tetapi turut dipengaruhi oleh situasi nasional, situasi rantau dan seluruh dunia.

“Dalam konteks dunia ini, agak kurang memberangsangkan namun kita berharap agar situasi dunia ini cepat sembuh,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.


Jelasnya, pelbagai perkara perlu dipertimbangkan khasnya yang melibatkan industri dan mereka yang berada di lapangan.

Ujar Awang Pawi, persoalan seperti persediaan mereka untuk menerima perubahan serta inovasi baharu perlu diambil kira.

Beliau memberi contoh, industri pelancongan di negeri itu yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

“Ketika ini, kita dapat menyaksikan sektor pelancongan susut kerana tiada yang melawat,” katanya.

Beliau juga berpendapat, Sarawak perlu memberi penekanan terhadap isu menara telekomunikasi dan Internet.

“Kita tahu sekarang ini walaupun kita tahu data digital di Sarawak sangat baik, tetapi isu mengenai Internet, isu menara telekomunikasi, masih lagi perlu kita tangani.

“Jadi saya kira langkah ini kalau ingin bergerak ke arah lapan peratus, ia memerlukan penglibatan daripada semua lapisan masyarakat,” tambahnya lagi.



Beliau menyifatkan kewujudan Pusat Data dan Inovasi adalah satu usaha yang baik dan membolehkan pembangunan sektor asas di pelbagai peringkat.

“Jadi kita melihat peluang ini di Pusat Data dan Inovasi yang berada di sekeliling kita seperti Digital ID, Digital Wallet, Big Data, Blockchain, Fintech, Virtual Reality, Augmented Reality and Artificial Intelligence contohnya, ia merupakan data-data yang dapat dimanfaatkan rakyat Sarawak untuk memajukan sektor yang mereka ceburi,” jelasnya.

BACA: Sarawak perlu capai KDNK lapan peratus menjelang 2030

Terdahulu, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, berkata kerajaan negeri kini dalam matlamat untuk meningkatkan kadar KDNK selaras dengan visi untuk mencapai status negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Katanya langkah itu dilakukan untuk memperkasakan purata pendapatan isi rumah rakyat.