KUALA LUMPUR:Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak hari ini melaporkan pertambahan satu kes positif COVID-19 yang dikesan di Sibu.

Menerusi kenyataan dikeluarkan pada Ahad, kes ke-717 itu melibatkan seorang lelaki warga tempatan yang menjalani pemeriksaan kesihatan dan saringan sebelum bertugas di Kuching.

Kes dilaporkan menjalani pemeriksaan dan ujian saringan itu di sebuah klinik kesihatan di Kota Samarahan pada 2 Oktober 2020 dan disahkan positif pada 3 Oktober 2020.

“Sebelum tiba di Samarahan pada 1 Oktober 2020, kes berada di Sibu dan bekerja di limbungan perkapalan di Sibu sehingga 30 September 2020.

“Kes tidak pernah melakukan perjalanan ke luar negara atau melawat kawasan berisiko jangkitan yang tinggi dan di Kota Samarahan, kes ditempatkan di rumah pekerja milik majikannya bersama pekerja lain dan diarahkan membuat pemeriksaan kesihatan sebelum mula bertugas,” kata kenyataan itu.

Kenyataan sama menyebut, kes juga tidak menunjukkan simptom jangkitan COVID-19 dan kini menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS).

“Kes dikategorikan sebagai jangkitan tempatan berdasarkan pergerakan kes dalam tempoh sebulan yang lepas.

“Justeru pengesanan kontak rapat sedang dilakukan termasuk kontak keluarga, rakan setugas dan kontak sosial,” tambah kenyataan sama.

Kes ini didaftarkan di Sibu berdasarkan pergerakan kes walaupun ia dikesan di Samarahan.