Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ia merupakan akibat selepas laman itu terlalu banyak membuat hasutan serta fitnah kepada rakyat negara ini.
"Baguslah. Lagipun banyak sangat pembohong, fitnah dan hasutan telah dibuat mereka," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Wan Junaidi mengulas serangan siber ke atas laman web Sarawak Report sejak awal pagi Selasa. Bagaimanapun laman itu kembali beroperasi pada petang hari yang sama.
Laman web Sarawak Report diserang penggodam sejak awal pagi sehingga petang Selasa - Gambar fail
Jumaat lepas, negara digemparkan dengan laporan berita The Wall Street Journal (WSJ) yang mendedahkan apa yang didakwa sebagai penemuan oleh penyiasat Malaysia yang kononnya telah mengesan hampir AS$700 juta didepositkan ke dalam apa yang mereka percaya sebagai akaun bank peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Laporan itu berdasarkan dokumen-dokumen daripada siasatan kerajaan yang diperoleh akhbar itu dan laman web Sarawak Report.
BACA: Puteri UMNO buat laporan polis terhadap Sarawak Report dan WSJ
Sebelum ini, Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin membuat laporan polis terhadap portal Sarawak Report dan WSJ susulan laporan yang dikatakan menjatuhkan reputasi Najib.
BACA: Dakwaan WSJ tanpa bukti kukuh tidak boleh diterima - Khairy
Selain itu, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin turut dilaporkan berkata, dakwaan WSJ berasaskan laporan portal Sarawak Report tidak boleh diterima kerana ia tidak disertakan dengan dokumen dan bukti yang kukuh.
BACA: Laporan WSJ: 'Kalau sahih, kenapa tak dedahkan sumber?' - Rahman Dahlan
Dalam pada itu, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan turut berkata, pihak berkenaan perlu mendedahkan sumber sebelum mengeluarkan laporan yang dikatakan sahih oleh mereka.
BACA: 1MDB nafi pernah salur dana ke akaun milik Najib
Sebelum itu, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam satu kenyataan menafikan pernah menyalurkan dana ke akaun milik Najib.
"Merujuk kepada laporan media yang diterbitkan awal hari ini, 1MDB ingin memperjelaskan bahawa syarikat ini tidak pernah menyalurkan dana kepada perdana menteri," kata kenyataan itu.