Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, kenyataan Naib Presiden PKR, N. Surendran menyamakan perjuangan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dengan Mendiang Nelson Mandela adalah sesuatu yang amat memalukan dan tidak wajar sama sekali.

Ujarnya, mendiang Mandela dipenjarakan kerana memperjuangkan anti perkauman dan bukan atas kesalahan jenayah seperti Anwar.

“Anwar masuk penjara kerana salah guna kuasa ketika menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri dan kerana liwat. Ini jauh berbeza dengan mendiang Mandela yang dipenjarakan kerana memperjuangkan kepentingan rakyat negara Afrika Selatan.

“Adalah sesuatu yang amat memalukan apabila kerana masuk penjara maka Anwar boleh diumpamakan seperti Mandela. Perjuangan mereka amat jauh berbeza,” jelasnya kepada UMNO-Online.

Jelasnya lagi pembangkang harus berasa malu dan menilai semula secara rasional adakah kenyataan menyamakan Anwar dengan Mandela adalah satu kenyataan yang rasional ataupun syok sendiri.

Sebelum ini Surendran mengeluarkan kenyataan menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tokoh Malaysia yang paling layak dibandingkan dengan bekas presiden Afrika Selatan Nelson Mandela yang meninggal dunia minggu lalu kerana masing-masing pernah dipenjarakan.

- MediaUMNO Oleh: Azlina Rosdy