KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (Pindaan) 2023 dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

RUU tersebut telah dibentangkan oleh Timbalan Menteri Kewangan II Steven Sim Chee Keong.

Beliau berkata RUU tersebut akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua pada sesi persidangan kali ini.

Menurut naskah biru yang diedarkan di Parlimen hari ini, pindaan kepada RUU ini bertujuan untuk meminda Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia 1995 (Akta 533) di mana Fasal 1 mengandungi tajuk ringkas dan peruntukan mengenai permulaan kuat kuasa akta yang dicadangkan.

"Fasal 2 bertujuan untuk meminda seksyen 6 Akta 533 untuk meluaskan keanggotaan Lembaga dengan menambah seorang yang mewakili Sabah dan seorang yang mewakili Sarawak yang hendaklah dilantik oleh menteri," katanya.

Manakala bagi Fasal 3 bertujuan untuk meminda seksyen 7 Akta 533 untuk memperuntukkan bahawa anggota yang dilantik di bawah perenggan 6(1)(da) atau (db) hendaklah juga memegang jawatan, tertakluk kepada terma yang ditentukan oleh menteri, selama tempoh tidak melebihi tiga tahun dan hendaklah boleh dilantik semula.

"Fasal 4 bertujuan untuk meminda seksyen 9 Akta 533 bagi memperuntukkan bahawa pelantikan anggota yang dilantik di bawah perenggan 6(1)(da) atau (db) juga boleh, pada bila-bila masa, dibatalkan oleh menteri tanpa memberikan apa-apa sebab baginya," kata naskah biru itu.

Selain itu, Fasal 5 bertujuan untuk meminda perenggan 28(a) Akta 533 bagi meluaskan kuasa pelaburan lembaga dengan menyimpan wang lembaga yang ada untuk pelaburan ke dalam bank Islam yang dilesenkan dengan sewajarnya di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.

-- BERNAMA