JOHOR BAHRU: Pasangan suami isteri rugi RM120,000 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan 'phone scam' menyamar anggota penguatkuasa Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA).

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohoimi Ishak berkata, lelaki tempatan berusia 56 tahun membuat laporan polis berhubung kejadian itu pada Jumaat.

"Lelaki terbabit mendakwa dirinya dan isteri telah ditipu oleh individu menyamar sebagai penguat kuasa AMLA yang menyatakan akaun bank mereka terlibat dengan penipuan scam.

"Mangsa yang percaya dengan kata-kata tersebut telah melakukan 17 transaksi pembayaran melalui mesin deposit ke dalam tiga akaun bank berbeza pada tarikh 5 Ogos lalu dengan nilai keseluruhan RM120,000," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurut Mohd Sohaimi, mangsa menyedari dirinya ditipu apabila nombor talian telah disekat selepas semua transaksi telah dibuat mangsa.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu dan siasatan juga meliputi penglibatan 'keldai akaun' sekiranya wujud dan tindakan akan diambil terhadap pemilik akaun yang terlibat," katanya. - Sinar Harian