Jurulatih terjun negara yang ditahan reman berkaitan kes rogol atlet penerjun wanita di Kompleks Sukan Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 26 Sept lepas akan dihadapkan ke mahkamah esok.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Rusdi Mohd Isa mengesahkan perkara itu ketika dihubungi di sini hari ini.

Sabtu lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata pihaknya telah merakam kenyataan 18 individu dan mendapatkan kamera litar tertutup (CCTV) di kompleks berkenaan bagi membantu siasatan.

Pada 2 Okt lepas, jurulatih berumur 35 tahun yang berasal dari China itu ditahan selepas pihak polis menerima laporan daripada atlet berkenaan.

-- BERNAMA