KUANTAN: Kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM3.32 bilion bagi projek pembangunan dan Program Perumahan Rakyat Keluarga Malaysia di Negeri Pahang.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ia bagi memberikan keselesaan kepada Keluarga Malaysia di negeri itu.

"Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) pula telah memperuntukkan sebanyak RM3.32 bilion bagi 101 buah projek pembangunan di Pahang dengan pecahan 39 projek baharu dan 62 projek sambungan untuk keselesaan Keluarga Malaysia.

"Di bawah KPLB, sebanyak 60 unit rumah dibina dan 2,250 unit dibaik pulih (keseluruhan sebanyak 2,310 unit) di bawah Program Perumahan Rakyat Keluarga Malaysia, melibatkan peruntukan sebanyak RM36 juta, yang memberi manfaat kepada lebih 11,500 ahli isi rumah luar bandar," jelasnya.

Bagi golongan pendapatan rendah di Pahang pula, sebanyak 12,444 unit rumah telah siap dibina dibawah Program Rumah Mampu Milik (RMM) menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Manakala 2,171 unit dalam pembinaan dan 3,905 unit lagi dalam perancangan di seluruh Negeri Pahang.

Sebanyak RM754 juta diperuntukkan bagi 40 projek baharu dan sambungan sekolah serta institusi pendidikan di Negeri Pahang.

Selain pembangunan luar bandar, sektor pendidikan di negeri itu turut diberi perhatian.

"Dalam sektor pendidikan di Pahang, terdapat 40 projek baharu dan sambungan sekolah serta institusi pendidikan dengan kos RM754 juta di bawah Rolling Plan Kedua RMK12 Tahun 2022.

"Daripada jumlah tersebut, sebanyak 13 projek telah siap sepenuhnya, 18 projek sedang dalam peringkat pelaksanaan dan 9 projek berstatus prabina," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Aspirasi Jelajah Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Pahang di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah di Kuantan pada Sabtu.