KUALA LUMPUR: Tanah rizab sungai, dataran banjir perlu diletakkan bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara supaya ia dilindungi daripada pembangunan yang tidak wajar.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) Datuk Seri Zaini Ujang, ketika ini banyak tanah tersebut berada di bawah Seksyen 13 kanun terbabit yang menyebabkan ia masih boleh dipindah milik.

Katanya, pada asalnya memang tanah-tanah terbabit khususnya sudah didedikasikan dan ditentukan untuk dibenarkan berlaku banjir supaya lebihan air tidak mengalir dan melimpah ke tempat yang strategik dari segi nilai hartanah serta mengancam keselamatan penduduk sekitar.

“Sebahagian besar lembangan sungai kita itu walaupun dari segi perancangannya ada dataran banjir tapi realitinya perkara tersebut tidak berlaku.

“Apa yang berlaku hanyalah terhadap tanah rizab sungai sahaja berdasarkan Seksyen 62 Kanun Tanah Negara.”

Jelas Zaini, dua pihak yang boleh mewartakan tanah rizab, iaitu kerajaan negeri dan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan dan ia adalah satu kerja yang memakan kos yang besar.

“Kalaulah Pesuruhjaya Tanah Persekutuan nak rizabkan tanah tersebut, mereka kena buat ukur halus dan kena buat pengambilan tanah, kena beli tanah itu daripada kerajaan negeri ataupun pihak pemilik tanah tersebut.

“Kemudian baru ia boleh dirizabkan dan ini mengambil biaya yang sangat besar, dan saya fikir juga isunya sebahagian daripada tanah tersebut penduduk mungkin tak nak jual walaupun telah dikenal pasti sebagai rizab sungai.”

Maka, katanya, mereka yang berkuasa terhadap tanah tersebut sama ada di peringkat kerajaan negeri atau kerajaan Persekutuan yang berkaitan contohnya di Wilayah Persekutuan perlu meletakkan tanah-tanah terbabit di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara itu dan diletakkan di bawah Setiausaha Kerajaan atau di bawah pentadbiran Dewan Bandaraya dan seumpamanya.

Namun Zaini memberitahu, biasanya Pesuruhjaya Tanah Persekutuan biasanya hanya akan menggunakan kuasanya untuk menjadikan sesuatu tanah itu tanah rizab sekiranya ada rancangan pembangunan misalnya Rancangan Tebatan Banjir (RTB) atau Pelan Lembangan Sungai Bersepadu.

“Selagi tak ada projek tersebut diluluskan, ini (pengambilan tanah) tidak akan berlaku.”

Begitupun maklumnya, isu besar ini telah dibawa kepada beberapa jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri serta jawatankuasa lain yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha kementerian-kementerian berkaitan.

Tonton temu bual penuh beliau dalam program Agenda AWANI bersama hos Nazri Kahar, di sini:


Tanah rizab sungai, dataran banjir perlu diletakkan bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara - Zaini Ujang


Agenda AWANI: Selepas episod banjir besar