Perintah sambungan reman sehingga 19 Ogos terhadap lelaki berusia 37 tahun itu dikeluarkan Majistret Teoh Shu Yee bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan di bawah Sesyen 302 Kanun Keseksaan (KK).
Terdahulu suspek yang mengenakan pelitup muka dan memakai pakaian lokap berwarna jingga dibawa ke perkarangan Mahkamah Alor Gajah kira-kira jam 8.30 pagi dan dikawal oleh anggota polis.
Suspek sebelum ini direman selama tujuh hari bersama isterinya berusia 36 tahun sebelum tahanan reman terhadap wanita itu tidak disambung dan dibebaskan dengan jaminan polis.
Pada 6 Januari lalu, Astro AWANI melaporkan seorang wanita dibunuh dengan kejam apabila bahagian badannya ditemui disumbatkan ke dalam tong sampah dan dibuang ke dalam longkang di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang Alor Gajah, Melaka, pada 31 Disember lalu.
Lebih tragis apabila bahagian kepala, tangan dan kaki mayat wanita dianggarkan berusia 20 hingga 30-an tidak berada di lokasi dan dipercayai telah dipotong.
Misteri penemuan itu terjawab apabila hari ini polis mengesahkan mayat yang ditemui di dalam tong sampah itu milik guru wanita Istiqomah Ahmad Rozi, 33.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, berdasarkan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dilakukan terhadap ibunya pada 2 Ogos lalu mendapati ia sepadan dengan mangsa yang dilaporkan hilang sejak 27 Disember tahun lalu.
Menurutnya, risikan yang dijalankan pasukan polis Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Melaka dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Johor serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah telah berjaya menahan sepasang suami isteri masing-masing berusia 36 dan 37 tahun.
Penahanan itu membawa kepada penemuan sebahagian beberapa bahagian lagi anggota badan mangsa termasuk tulang jari dan kepala di kawasan sekitar enam kilometer dari tempat mayat mangsa dijumpai.