PUCHONG: Perancangan sebuah kementerian dan agensi untuk mengadakan lawatan ke sebuah pesta pameran di Berlin, Jerman telah mengundang ketegasan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana melibatkan 68 orang pegawai.


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, membatalkan lawatan kementerian dan agensi ke pesta pameran di Berlin, Jerman yang melibatkan 68 pegawai, walaupun tiket penerbangan dan hotel telah ditempah.
  • Tindakan ini adalah mesej jelas bahawa Kerajaan Madani tidak akan berkompromi dalam tindakan yang merugikan dana awam dan akan terus melaksanakan reformasi dalam institusi penjawat awam.
  • Semua projek baharu dan lawatan ke luar negara mesti dirujuk kepada Ketua Setiausaha Kementerian atau Ketua Pengarah dan diluluskan oleh menteri berkenaan untuk memastikan tanggungjawab langsung.


Bercakap kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Darussalam, di sini, perdana menteri berkata, beliau mengambil keputusan membatalkan terus lawatan tersebut biarpun rombongan itu sudah menempah tiket penerbangan dan hotel.

Tegasnya lagi, tindakan itu merupakan satu mesej jelas kepada semua pihak bahawa Kerajaan Madani tidak akan berkompromi dalam sebarang tindakan yang boleh merugikan dana awam, di samping tegas untuk terus melaksanakan reformasi dalam institusi penjawat awam.

“Sebab satu contoh ada sebuah pesta pameran, kecil, tapi saya lihat daripada jumlah staf kementerian dan agensi berkenaan, 68 orang daftar nak pergi, sedangkan sebahagian kecil sahaja terlibat.

“Jadi saya buat keputusan tegas, batalkan seluruh lawatan itu walaupun tiket penerbangan dan hotel telah disediakan.

"Ini mesej jelas, kerana kita cakap soal reform … Menteri untuk melawat (luar negara) mesti bentang kertas kepada Jemaah Menteri.

“Dan selalunya kita buat potongan, apakah perlu dua atau tiga staf, dan kalau tidak perlu, diminta tangguh, atau disekalikan dengan lawatan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, jadi boleh ditandatangani memorandum persefahaman untuk jimat belanja,” katanya lagi.

Perdana Menteri berkata, Jemaah Menteri telah memutuskan agar semua projek baharu dan lawatan ke luar negara mesti dirujuk kepada Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian atau Ketua Pengarah, sebelum diluluskan oleh menteri berkenaan.

“Saya nak nyatakan bahawa reform dalam jabatan kerajaan, syarikat kerajaan, agensi mesti berterusan.

"Pada Rabu lalu, dalam mesyuarat Jemaah Menteri, kita lebih tegas untuk semua syarikat dan agensi kerajaan.

"Walaupun lembaga berkuasa, tapi lembaga (kadang-kadang) buat keputusan yang berpihak kepada kepentingan mereka.

“(Jadi) semua projek baharu, lawatan ke luar negara mesti dirujuk kepada KSU atau KP, dan diluluskan menteri berkenaan supaya ada yang akhirnya bertanggungjawab secara langsung,” tegasnya lagi.