KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini memberi jaminan, kerajaan tidak akan melindungi  mana-mana individu yang terlibat amalan rasuah, daripada didakwa.

Memandang serius isu rasuah, beliau turut menegaskan, tidak berlaku sebarang pendakwaan terpilih ketika ini.

"Dari segi tindakan yang dilaksanakan apabila berkaitan isu rasuah, saya percaya Yang Berhomat tahu, banyak kes sedang berjalan di mahkamah melibatkan sesiapa sahaja, tidak kira dari pihak pembangkang mahupun kerajaan.

"Kita lihat hari ini banyak kes masih berjalan di mahkamah dan ini menunjukkan bahawa kerajaan serius dari segi mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja yang mengamalkan rasuah.

"Pihak kerajaan tidak melindungi sesiapa," tegas beliau di Dewan Rakyat hari ini. 

Katanya, dalam isu rasuah, sesiapa sahaja yang bertanggungjawab akan dihadapkan ke mahkamah dan mahkamah yang akan menentukan sama ada seseorang itu bersalah atau tidak.

"Jadi, tidak boleh anggap bahawa kerajaan hari ini melindungi individu-individu tertentu dan mengambil tindakan terhadap orang-orang tertentu, hanya untuk memuaskan hati sesetengah pihak.

"Kita tidak tahu sama ada (masa) dulu ada pendakwaan terpilih atau tidak, tetapi hari ini tidak ada pendakwaan terpilih, kepada sesiapa sahaja. Itu janji kerajaan hari ini," kata Ismail Sabri.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) yang mendakwa tiada kesungguhan politik kerajaan dalam meningkatkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dan usaha mengekang rasuah di negara ini.

Menjawab soalan asal Anwar, Ismail Sabri berkata kerajaan kekal komited untuk melaksanakan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) yang bakal memberi impak jangka masa panjang.