Ketua Pegawai Eksekutif Untuk Malaysia, Zul Fikri Zamir berkata, ranking sekolah sepatutnya menjadi simpanan KPM dan bukan untuk didedahkan secara umum dalam usaha mengurangkan jurang sekolah dan pelajar.
"Kita semua faham bahawa ranking ini perlu oleh KPM, tetapi ia hanya untuk pentadbiran. Ia bukan untuk dipertontonkan. Maksudnya ia bukan untuk diumumkan ketika pengumuman analisis peperiksaan.
"Misalnya, KPM simpan sendirilah. (Biar) Hanya KPM atau Lembaga Pengarah sahaja yang tahu sebab kita tidak mahu hantar signal yang berbeza ibu bapa dan anak-anak," katanya kepada Astro AWANI pada Isnin.
BACA : KPM perlu hentikan sistem ranking antara sekolah
Malah katanya, cadangan itu juga selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang sudah memasuki fasa akhir pelaksanaan.
"Kita faham ibu bapa muda sekarang ini yang anaknya Tahun 1 atau 6 yang dalam masa lima tahun lagi akan mengambil SPM. Ketika dunia sudah berubah, orang tidak lagi berebut-rebut untuk bekerja menjadi doktor atau peguam sahaja. Ada banyak pekerjaan lain lagi.
"Kita tidak mahu hantar signal yang berbeza, kita tidak mahu nanti ada ibu bapa yang rasa nak hantar anak dia ke Sekolah Tun Fatimah sahaja misalnya, sedangkan sepatutnya menurut pelan pembangunan pendidikan kita, semua sekolah itu harus setara," tambahnya lagi.
Ujar beliau lagi, ada perkara lain yang lebih penting yang perlu diutamakan ketika ini termasuk ranking prestasi Internet di sekolah.
"Kita juga kena tahu ada sekolah yang tiada Internet, jadi sekolah mana tiada Internet itu? Kita juga kena tahu mana sekolah di pedalaman yang makmal komputernya tidak ada komputer?
"Kalau kita boleh tahu 9,696 anak-anak kita mendapat semua A, kita juga kena faham kenapa lebih 70,000 tidak dapat sijil SPM? Ini adalah beberapa perkara perlu dilihat kalau kita nak sebut ranking sekolah ini," tegas beliau.