LIPIS: Menteri Besar Pahang mengesyorkan konsep yang diketengahkan oleh Perdana Menteri Malaysia ke-10, Malaysia Madani sebagai langkah awal melalui perayaan sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini wajar dijadikan budaya negara.

Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, konsep Madani bersempena tahun arnab menunjukkan nilai kejujuran itu amat penting supaya suasana muhibah dan harmoni yang telah diamalkan sejak sekian lama terus berkekalan.

"Berasaskan konsep ini, semua kaum yang menyambut perayaan ini, boleh menghindarkan sebarang sikap yang boleh memecah-belahkan hubungan kekeluargaan kita serta menerima setiap perbezaan itu dengan berlapang dada dan matang.

"Perbezaan antara kaum perlu dielakkan sebaliknya perbezaan antara kaum sebagai satu keistimewaan dan kelebihan untuk  merapatkan hubungan dan bukannya untuk memisahkan," katanya kepada media selepas beliau menghadiri majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina di Kampung Jerkoh, Benta, di sini, pada Ahad.

Astro AWANI

Tambahnya, sikap toleransi dan saling memahami tentang agama, adat dan budaya setiap masyarakat di negara ini wajar difahami dan diutamakan, usah cuba meruntuhkan hubungan kaum di negara ini terutamanya menerusi saluran media sosial yang akhirnya boleh meranapkan kekuatan dan kestabilan politik negara.

"Setelah mengambilkira pelbagai pertimbangan serta memikirkan masa depan negeri ini, Barisan Nasional telah membuat keputusan untuk bergabung dengan Pakatan Harapan bagi membentuk Kerajaan Negeri.

“Kestabilan politik di Pahang ini amat penting terutamanya dalam memastikan sektor pelaburan negeri dapat berkembang dengan baik khususnya pertambahan cukai yang baik dapat membangunkan negeri serta boleh memberi pulangan semula kepada rakyat negeri ini,” tambahnya.