SINGAPURA: Seorang lelaki warganegara Malaysia, berusia 34 tahun yang disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan dadah ditahan di Singapura selepas pihak berkuasa menjumpai lebih lima kilogram dadah dianggarkan bernilai S$305,000 (S$1=RM3.33) di dalam kereta yang dipandunya.

Menurut Biro Narkotik Pusat (CNB) Singapura, lelaki itu ditahan di sekitar Chin Swee Road dalam satu operasi yang dijalankan pada malam Isnin.

"Hasil pemeriksaan ke atas kereta yang dipandu suspek, pihak kami berjaya merampas kira-kira 264 gram (g) dadah jenis 'Ice', 1.88 kg heroin dan 3.14 kg ganja.

"Dadah yang dirampas ini boleh digunakan oleh kira-kira 1,500 penagih bagi tempoh seminggu," menurut CNB dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.

Siasatan lanjut mengenai kegiatan penyeludupan dadah suspek sedang dijalankan.

Di bawah undang-undang Singapura, mereka yang didapati bersalah menyeludup lebih 15g heroin tulen (diamorphine), 250g methamphetamine, atau 500g ganja boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

-- BERNAMA