Penglibatan institusi Raja dalam pentadbiran kerajaan negeri boleh menimbulkan konflik kepentingan selain menjejaskan kredibiliti mereka, kata Penasihat Kerajaan dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan Tan Sri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata keadaan itu akan menyebabkan institusi diraja boleh dipertikaikan atau dicerca mana-mana pihak termasuk yang tidak berpuas hati.

"Di sinilah nanti timbulnya situasi Raja menjadi sasaran politik lantaran ketidakpuasan pihak tertentu atas turutan apa-apa tindakan atau keputusan yang diambil baginda," katanya dalam kenyataan pada hari Isnin.

Beliau mengulas Rang Undang-Undang Enakmen Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor 2014 yang sebelum ini menimbulkan reaksi pelbagai pihak kerana apabila diluluskan dikatakan akan menyaksikan pembabitan Sultan dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini meluluskan Enakmen Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor 2014 yang bertujuan menyediakan satu bentuk perundangan berkaitan pembangunan sektor perumahan dan hartanah di negeri itu.