KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof mengikut rapat sumbangan Allahyarham Tun Daim Zainuddin kepada negara yang disifatkan sebagai besar.

Menurut Fadillah, walaupun beliau tidak pernah berkesempatan berkhidmat bersama Tun Daim dalam kerajaan, tetapi jasa bakti Allahyarham begitu banyak.

“Walaupun secara peribadi, saya tak pernah bersama berkhidmat dalam kerajaan bersama beliau tetapi saya  mengikuti perkembangan.

“Sudah pasti selaku menteri dulu, banyak khidmat bakti diberikan pada negara,” katanya ketika ditemui pemberita di kediaman Allahyarham Daim di Persiaran Bukit Tunku, di sini pada Rabu.

[TERKINI] Tun Daim meninggal dunia pada usia 86 tahun


Fadillah yang tiba sekitar jam 1.30 tengah hari untuk memberikan penghormatan juga menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham.

Upacara penghormatan terakhir akan diadakan sehingga jam 3.30 petang ini sebelum jenazah disolatkan di Masjid Wilayah Jalan Duta pada pukul 4 petang ini.

Jenazah Allahyarham kemudian dijadual dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara 1 pada pukul 5 petang.

Mengenang Tun Daim: Jenazah Tun Daim dibawa ke kediamannya di Bukit Tunku


Daim yang berusia 86 tahun menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 8.21 pagi tadi di Hospital Assunta di Petaling Jaya.

Allahyarham berkhidmat sebagai Menteri Kewangan dua kali, yang pertama dari 1984 hingga 1991 di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di mana beliau memainkan peranan penting dalam mengurus ekonomi Malaysia dan melaksanakan pelarasan struktur.

Beliau kemudian kembali untuk penggal kedua dari 1999 hingga 2001, sekali lagi di bawah Dr Mahathir, untuk menangani isu ekonomi berikutan krisis kewangan Asia ketika itu.

Dilahirkan pada 29 April 1938 di Kedah, Allahyarham pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen selama lima penggal antara 1982 dan 2004.