Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pihak berkuasa terbabit kemudian akan menentukan seseorang itu layak atau sebaliknya untuk mendapatkan perlindungan di bawah akta itu.
"Contohnya, kalau kes rasuah, pemberi maklumat kena beri maklumat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dahulu. Kemudian agensi itu akan terima laporan dan membuat siasatan dan keputusan sama ada individu itu dilihat layak sebagai pemberi maklumat atau tidak. Itu prosedurnya.
"Tak boleh, bila kita tahu maklumat dan kita tidak buat laporan kepada agensi yang bertanggungjawab tetapi tiba-tiba buat kenyataan mahu perlindungan. Dalam aspek whistle blower ini, selalunya pemberi maklumat orang tak tahu siapa yang beri maklumat kepada agensi.
"Itu sebab kita ada undang-undang yang memberikan mereka perlindungan antara agensi dan pemberi maklumat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Forum Timbang Tara Antarabangsa 2024 di Kuala Lumpur pada Rabu.
Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan pegawainya telah berjumpa dengan seorang pemberi maklumat pada 30 Oktober lepas membabitkan kes klip video beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang didakwa meminta wang sebagai balasan menyokong kelulusan projek.
Pemberi maklumat dalam kes itu juga dikatakan menghantar surat rasmi kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meminta diberi perlindungan sebelum membuat laporan SPRM.
Bagaimanapun, semalam Anwar dilaporkan berkata beliau tidak akan memberi perlindungan kepada sesiapa yang terbabit rasuah dan menyerahkan sepenuhnya kepada SPRM untuk menjalankan siasatan teliti terhadap semua kes termasuk skandal terbabit.