KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus mengambil langkah meningkatkan akses kepada keadilan dengan membiayai khidmat guaman untuk individu yang layak dalam kes jenayah dan sivil.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memberitahu melalui agensi bantuan guaman, kerajaan dan peguam panel dilantik, individu yang layak akan mendapat akses kepada khidmat guaman dalam litigasi sivil, sejajar dengan prinsip perwakilan guaman.

"Peguam sektor swasta akan terus menyediakan bantuan guaman di bawah pengurusan Jabatan Bantuan Guaman (JBG) dengan kos ditanggung oleh kerajaan.

"Perkhidmatan ini turut merangkumi perkhidmatan sahabat guaman bagi menyokong mangsa kanak-kanak dalam perbicaraan jenayah.

"Usaha sedang dilakukan untuk meningkatkan kesedaran awam tentang ketersediaan perkhidmatan ini bagi memastikan lebih ramai individu dapat mengakses keadilan dan mendapatkan bantuan yang diperlukan. Secara keseluruhan, inisiatif ini merupakan sebahagian daripada agenda nasional yang dikenali ‘Justice on Wheels’ (Keadilan Bergerak)," katanya.

Beliau berkata demikian Ketika berucap di Forum Hari Hak Asasi Manusia 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Selasa.

Baru-baru ini, Kabinet telah memutuskan untuk menggantikan Akta Bantuan Guaman 1971 dengan Akta yang lebih komprehensif untuk memperkukuhkan kapasiti Jabatan Bantuan Guaman (JBG) dalam menyediakan perkhidmatan bagi kes jenayah, sivil, dan syariah.

Jelas Azalina lagi, sebagai sebahagian daripada reformasi ini, Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) akan disatukan di bawah JBG manakala Bahagian Pembelaan Awam yang baharu akan ditubuhkan.

Melalui penyediaan perkhidmatan seperti perwakilan guaman, mediasi, dan sokongan kepada golongan rentan, Kerajaan MADANI katanya berhasrat untuk meningkatkan akses kepada keadilan dan mempromosikan masyarakat yang lebih adil dan saksama.