Prosiding kes terhadap Muhammad Farhan Izzuddin Rosman,32, itu dijalankan di wad Hospital Pulau Pinang (HPP) berikutan dia sedang menerima rawatan di hospital berkenaan.
Tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi, namun tiada pengakuan direkodkan.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian ke atas Zulkifli Ibrahim, 62, dan Siti Zulaila Zulkifli, 30.
Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di hadapan lif Blok 1, Sri Ivory, Jalan Lengkok Angsana, Ayer Itam antara jam 12.54 tengah hari sehingga 1.25 tengah hari 7 November lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati atau penjara tidak kurang 30 tahun atau tidak lebih 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M Darrshini manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Majistret kemudian menetapkan tarikh 15 Januari depan bagi sebutan semula kes.
Terdahulu, pasukan pendakwaan tiba di HPP kira-kira jam 11.38 pagi dan prosiding selesai 10 minit kemudian.
Dalam kejadian tengah hari Khamis minggu lepas, Siti Zulaila dan bapanya maut ditikam oleh seorang lelaki di pangsapuri berkenaan.
Suspek kemudian bertindak mengelar dan menikam dirinya beberapa kali sebelum dia dikejarkan ke HPP untuk rawatan lanjut.
Insiden itu dipercayai disebabkan mangsa menolak cinta suspek.