KEPALA BATAS: Mungkin ramai yang sudah menikmati gulai batang pisang tetapi mungkin tidak ramai yang tahu rahsia kenapa gulai berkenaan dimasak dalam kawah.

Bagi seorang peniaga, Alias Awang Mohamad, 42, gulai kawah batang pisang hanya masyhur kepada masyarakat yang menetap di Sik atau Baling, Kedah kerana ia menu popular di kawasan tersebut.

Bagaimanapun, setiap kali menjelang Ramadan, masakan berkenaan bukan saja dicari orang Kedah, bahkan ia turut menarik perhatian penggemar dari negeri jiran terutamanya Pulau Pinang.

Menurut Alias, kebiasaannya tukang masak akan memasak gulai batang pisang dalam kawah kerana mempunyai kelebihan tertentu.

"Gulai batang pisang yang dimasak dalam kawah tidak akan ada kerak manakala warna kuahnya juga kehitaman berbanding jika dimasak dalam periuk.

"Sebab itu dipanggil gulai kawah batang pisang dan rasanya memang enak," katanya ketika ditemui di gerainya di bazar Ramadan di pekan Kepala Batas di sini.


Setiap hari Alias Awang Mohamad akan membeli 100 batang pisang dari pembekal di Baling dan dimasak dengan 30 kilogram daging. - Gambar Astro AWANI

JENDELA RAMADAN AL-MUBARAK

Kata Alias, kebanyakan batang pisang yang mempunyai rias atau umbut boleh dibuat gulai kecuali pisang abu.

Alias berkata, setiap hari dia membeli 100 batang pisang dari pembekal di Baling dan dimasak dengan 30 kilogram daging.

Gulai berkenaan dijual pada harga RM7 dan RM10 sebungkus mengikut saiz.

Selain daging lembu dan kambing, daging ayam juga sesuai dibuat gulai bersama batang pisang.

Bukan hanya berniaga di bazar Ramadan, Alias turut menerima tempahan memasak gulai kawah batang pisang untuk sebarang majlis keraian.