JOHOR BAHRU: Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Arena Larkin di sini dijangka dibuka semula pada awal Januari tahun depan, selepas kerja-kerja pembersihan dan membaik pulih kemudahan pusat itu siap sepenuhnya.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata kerja-kerja membaik pulih yang dilakukan termasuk penukaran sistem antikarat dan penukaran jubin di kolam terjun serta kolam renang bagi memastikan sistem saliran air yang bersih bagi kegunaan pengguna.

Beliau berkata tindakan itu diambil bukan sahaja untuk memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna, bahkan turut mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap kualiti dan kebolehpercayaan kemudahan sukan di negeri ini.

"Kerja-kerja pembersihan dan membaik pulih segala fasiliti Pusat Akuatik MBJB sedang dilaksanakan. Saya dimaklumkan kerja-kerja ini dijangka siap sepenuhnya pada November ini, dengan pembukaan semula kepada orang awam dijadualkan pada awal Januari 2025.

"Insya-Allah, usaha berterusan akan diambil untuk memastikan semua fasiliti di negeri ini berada dalam keadaan terbaik demi kesejahteraan seluruh Bangsa Johor. Semoga dipermudahkan segala urusan," katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya hari ini.

Sebanyak 19 pelajar yang menyertai Kejohanan Akuatik Majlis Sukan Sekolah Johor (MSSJ) 2024 di Pusat Akuatik MBJB Arena Larkin pada 16 hingga 18 Julai lepas dirawat di hospital selepas dipercayai mengalami pelbagai gejala termasuk muntah, demam dan gatal pada kulit.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor Mohd Hairi Mad Shah sebelum ini dilaporkan berkata sampel air yang diambil termasuk di kolam renang dan terjun pusat itu disahkan mengandungi e-coli berdasarkan hasil keputusan diperoleh daripada Jabatan Kimia.

Mohd Hairi dipetik berkata kerja-kerja penambahbaikan termasuk penukaran jubin di kolam renang dan terjun yang dianggarkan melibatkan kos RM1.3 juta bagi memastikan tahap kualiti air kolam di pusat yang berada di bawah pengurusan Damansara Assets itu selamat sebelum dibuka kepada orang awam.

-- BERNAMA