GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil pelbagai langkah persediaan awal bagi menghadapi kemungkinan banjir besar yang dijangka berlaku bermula November ini.

Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, antara tindakan awal ialah melantik tiga 'individu tumpuan' di semua Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) serta jabatan dan agensi negeri bagi menguruskan bencana sekiranya berlaku banjir.

Katanya, ia bagi mengeratkan jaringan kerjasama antara Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

Selain itu, katanya turut diadakan ialah Bengkel Pengoperasian Pengurusan Bencana Negeri Pulau Pinang yang melibatkan semua PDT, jabatan dan agensi di negeri Pulau Pinang dengan kerjasama pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

"Bengkel yang disertai oleh 70 peserta berkaitan bertujuan memahami dan mempelajari kemahiran asas pengurusan bencana dengan lebih mendalam" katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dalam masa sama, Kon Yeow memaklumkan Jabatan Kewangan Negeri (JKN) telah meluluskan RM400,000 bagi tujuan pembelian atau perolehan aset serta bekalan pengurusan bencana.

"Peruntukan khas itu akan diagihkan kepada semua PDT mengikut permohonan yang mana aset dan perolehan perlu dibuat dalam tahun ini juga" katanya.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata kerajaan negeri juga telah menerima sumbangan 4,744 unit C-Tent yang mana telah diagihkan kepada semua PDT sebagai langkah siap siaga menghadapi sebarang bencana.

"Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pasukan tindakan kecemasan (ERT) kampung/komuniti dan lain-lain pertubuhan berkaitan juga telah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan," katanya.