JEMPOL: Seorang lelaki bukan sahaja memukul seorang tukang pasang mozek hingga cedera, malah memecahkan cermin hadapan van gara-gara cemburu mangsa kerap keluar dengan isterinya dalam kejadian di tepi jalan di Pekan Bahau pada Sabtu lalu.


Ringkasan AI
  • Seorang lelaki memukul seorang tukang pasang mozek dengan kayu hingga cedera dan memecahkan cermin hadapan van mangsa kerana cemburu mangsa kerap keluar dengan isterinya dalam kejadian di Pekan Bahau.
  • Suspek, yang juga berusia 50 tahun, telah memukul tangan kanan mangsa, memecahkan cermin van dan menyebabkan kerugian RM300 sebelum pulang ke rumah.
  • Mangsa dirawat di Hospital Jempol dengan kecederaan tisu lembut, dan suspek telah ditangkap untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 324 dan 427 Kanun Keseksaan.


Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, kejadian pada jam 9.30 malam itu, mangsa berusia 50 tahun didatangi seorang lelaki yang dikenali juga berusia 50 tahun bertindak memukulnya menggunakan sebatang kayu mengenai tangan kanannya.

"Suspek kemudiannya bertindak mengetuk cermin hadapan van mangsa sehingga retak," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Chang Hook berkata, hasil siasatan awal mendapati punca kejadian disebabkan perasaan cemburu kerana mangsa selalu keluar dengan isteri suspek.

Katanya, mangsa juga didapati telah berkahwin dan mempunyai tiga anak

"Suspek memukul mangsa sekali sahaja dan selepas mengetuk cermin van, suspek telah membuang kayu tersebut lalu balik ke rumah.

"Kejadian ini turut disaksikan oleh anak suspek yang berada dalam kereta dan mangsa mengalami kerugian RM300," katanya.

Katanya, mangsa telah menerima rawatan di Hospital Jempol dan doktor mengesahkan pengadu mengalami kecederaan tisu lembut.

"Tangkapan dan telah dilakukan keatas suspek serta untuk tindakan selanjutnya.

"Kes masih dalam siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan/427 Kanun Keseksaan," katanya. - Sinar Harian